fb fb fb fb fb

Syria: Kumpulan penentang kerajaan mula memasuki bandar Hama

Foto REUTERS

AMMAN, 5 Disember-Pasukan penentang kerajaan Syria pada Khamis mendakwa telah mula menyerang bandar utama Hama, menyaksikan pasukan prokerajaan dengan sokongan serangan udara sengit Rusia berusaha menangkis serangan pasukan tersebut yang mencatat kemenangan terbaharu mereka.

Komander pasukan berkenaan, Hassan Abdul Ghany, mengumumkan di media sosial bahawa kumpulan berkenaan telah berjaya menembusi bandar Hama.

Bagaimanapun, media kerajaan melaporkan bahawa pasukan prokerajaan telah berjaya mematahkan serangan tersebut.

Pertempuran sengit berlaku sejak Selasa lalu, dengan pertempuran berlanjutan sepanjang malam antara tentera Syria yang dibantu Iran dan serangan udara Rusia.

Pasukan penentang kerajaan sebelum ini berjaya menguasai bandar utama Aleppo pada minggu lalu dan sejak itu mara ke selatan daripada kawasan mereka di barat laut Syria.

Pada Selasa, mereka menguasai bukit strategik di utara Hama dan mara ke timur dan barat bandar itu pada Rabu.

Hama, yang kekal di bawah kawalan kerajaan sepanjang perang saudara bermula pada 2011, kini menjadi sasaran pasukan penentang kerajaan yang bangkit semula.

Kejatuhan bandar tersebut kepada pasukan penentang akan memberikan impak besar kepada Damsyik serta sekutu utamanya, Rusia dan Iran.

Hama terletak di lebih satu pertiga perjalanan dari Aleppo ke Damsyik, dan jika ditawan, ia akan membuka laluan buat pasukan penentang kerajaan ke bandar Homs, hab penting yang menjadi persimpangan bagi kawasan paling padat penduduk di Syria.

Bandar tersebut juga dianggap penting untuk mengawal dua pekan utama iaitu Muhrada dan Salamiya.

Muhrada yang dihuni ramai penduduk beragama beragama Kristian. Manakala Salamiya, dihuni ramai penganut Islam Ismaili.

Kumpulan penentang paling kuat, Hayat Tahrir al-Sham (HTS), bekas cabang Al-Qaeda di Syria, memainkan peranan utama dalam serangan tersebut.

Pemimpinnya, Abu Mohammed al-Golani,sebelum ini telah berikrar untuk melindungi golongan minoriti di Syria.

Namun ramai yang masih ragu-ragu dan khuatir dengan niat sebenar kumpulan itu.

Serangan tersebut sekali lagi menonjolkan dinamika kompleks perang saudara Syria, yang kini memasuki tahun ke-13 dengan kesan yang mendalam terhadap populasi dan geopolitik serantau.-REUTERS.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD