HANOI, 5 Disember-Aplikasi membeli-belah popular, Temu, terpaksa menggantung perkhidmatannya di Vietnam selepas gagal mendaftar dengan pihak berkuasa tempatan sebelum tarikh akhirnya pada penghujung November, menurut laporan media rasmi Vietnam pada Khamis.
Penghantaran barangan yang dipesan melalui Temu tidak akan lagi melalui pemeriksaan kastam di Vietnam, menyebabkan operasi platform e-dagang itu tergendala.
Temu, yang dimiliki oleh gergasi e-dagang China, PDD Holdings, tidak memberikan tarikh bila ia akan kembali beroperasi di negara tersebut.
Sementara itu, laman web fesyen dalam talian, Shein, juga memaklumkan bahawa versi Vietnam platform mereka kini tidak dapat diakses buat sementara waktu.
Shein, yang diasaskan di China tetapi kini beribu pejabat di Singapura, menyatakan ia sedang bekerjasama dengan Kementerian Perindustrian dan Perdagangan Vietnam untuk melengkapkan proses pendaftaran perkhidmatan mereka.
Kementerian Perindustrian dan Perdagangan Vietnam sebelum ini menyuarakan kebimbangan terhadap harga rendah luar biasa yang ditawarkan Temu di pasaran dalam talian, yang dikatakan boleh menjejaskan pengeluar tempatan.
Menurut media rasmi Vietnam, barangan Temu menarik perhatian pengguna tempatan dengan potongan harga sehingga 90 peratus dan penghantaran percuma sejak mula beroperasi di negara itu pada Oktober lalu.
Namun, pihak kementerian mempersoalkan kesahihan produk dan kesannya terhadap ekonomi domestik.
Jurucakap Temu memberitahu AFP bahawa mereka telah menyerahkan semua dokumen yang diperlukan untuk proses pendaftaran.
"Kami sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Vietnam untuk melengkapkan pendaftaran perniagaan kami," kata jurucakap tersebut.
Aplikasi Temu, yang dilancarkan pada 2022, dengan pantas menjadi salah satu aplikasi membeli-belah paling popular di Amerika Syarikat dan antara yang berkembang pesat di Eropah.
Namun, platform ini berdepan pelbagai cabaran di peringkat antarabangsa.
Kesatuan Eropah telah memulakan siasatan terhadap Temu atas dakwaan tidak mengambil langkah mencukupi untuk menghalang penjualan produk haram.
Di Korea Selatan, pegawai kawal selia membuka penyiasatan pada April lalu mengenai amalan perniagaan Temu, termasuk iklan palsu dan kualiti produk yang diragui -AFP.