fb fb fb fb fb

Kerugian ekonomi global akibat bencana alam semulajadi cecah RM1.4 trilion pada 2024

Foto REUTERS

ZURICH, 5 Disember-Bencana alam semulajadi mencatatkan kerugian ekonomi global mencecah AS$310 bilion (RM1.4 trilion) pada tahun ini.

Anggaran tersebut meningkat sebanyak enam peratus berbanding 2023, menurut laporan terkini oleh syarikat insurans semula gergasi, Swiss Re.

Kerugian yang ditanggung oleh syarikat insurans pula melonjak sebanyak 17 peratus, menjadikan jumlah keseluruhan AS $135 bilion atau (RM629 bilion).

Antara faktor utama penyumbang ialah taufan Helene dan Milton yang menyebabkan kemusnahan besar di Amerika Syarikat, kata Swiss Re dalam kenyataannya.

Tahun ini juga menandakan kali kelima berturut-turut kerugian insurans melebihi AS$100 bilion atau (RM466 bilion), mencerminkan beban kewangan yang semakin meningkat akibat perubahan iklim.

"Sebahagian besar peningkatan ini disebabkan oleh tumpuan nilai aset di kawasan bandar, pertumbuhan ekonomi, dan kos pembinaan semula yang semakin tinggi," kata Balz Grollimund, ketua bahagian bencana dan risiko Swiss Re.

Perubahan iklim memainkan peranan besar, dengan 2024 dijangka menjadi tahun paling panas dalam rekod.

"Perubahan iklim menyumbang kepada keadaan yang menyebabkan banyak bencana tahun ini," tambah Grollimund.

Banjir terus menjadi antara bencana paling mahal, dengan insurans untuk banjir di Eropah dan Emiriah Arab Bersatu sahaja mencatatkan kos AS$13 bilion atau (RM60.6 bilion).

Sementara itu, Amerika Syarikat mencatatkan kerugian insurans tertinggi tahun ini, didorong oleh taufan Helene dan Milton yang melanda kawasan tenggara negara itu pada akhir September dan awal Oktober.

Kedua-dua taufan tersebut sahaja menyebabkan kerugian insurans hampir AS$50 bilion (RM233 bilion).

Ditambah dengan ribut petir yang kerap berlaku, Amerika Syarikat menyumbang lebih dua pertiga daripada jumlah kerugian insurans global pada 2024, menurut anggaran Swiss Re.-AFP.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD