SEOUL, 5 Disember- Ketua turus angkatan tentera tertinggi Korea Selatan, Jeneral Park An-su, mendakwa tidak mengetahui rancangan Presiden Yoon Suk Yeol untuk mengisytiharkan undang-undang darurat sebelum ia diumumkan secara langsung di televisyen pada Selasa.
Yoon menggantung kerajaan awam selama beberapa jam sebelum menarik balik keputusan tersebut selepas ia ditolak oleh parlimen.
Yoon kini menghadapi undian pemecatan pada Sabtu.
Ketika sesi soal jawab bersama ahli parlimen pada Khamis, Jeneral Park mendedahkan bahawa beliau hanya mengetahui peranannya sebagai komander undang-undang darurat selepas Menteri Pertahanan Kim Yong-hyun mengumumkannya semasa mesyuarat pegawai kanan tentera.
“Saya mengetahui saya dilantik sebagai komander undang-undang darurat selepas menteri pertahanan mengumumkannya ketika mesyuarat,” katanya.
Jeneral Park juga mengaku telah menandatangani dekri yang melarang aktiviti politik antikerajaan, membenarkan penahanan tanpa waran, dan menyokong penapisan media.
Namun, beliau menegaskan bahawa dokumen tersebut bukan hasil tulisan tangannya dan beliau hanya mengubah waktu yang tertera pada dokumen itu.
Ketika ditanya mengenai kehadiran askar di pejabat dan kediaman pempengaruh YouTube terkenal Kim Eo-jun serta di bangunan Parlimen, Park berkata beliau tidak mengetahui tentang perkara tersebut.
“Saya tidak tahu mereka dihantar ke sana. Saya tiada kawalan ke atas rantaian arahan,” katanya.
Beliau juga tidak pasti sama ada askar yang dikerahkan membawa peluru hidup atau tidak.
Timbalan Menteri Pertahanan, Kim Seon-ho, yang kini memangku jawatan Menteri selepas peletakan jawatan Kim Yong-hyun, memberitahu parlimen bahawa beliau membantah pengisytiharan undang-undang darurat.
“Saya menentang penempatan askar di bawah undang-undang darurat dan menyuarakan ketidaksetujuan terhadap penghantaran mereka ke Parlimen,” katanya.
Beliau menambah bahawa askar yang dikerahkan tidak membawa peluru hidup dan menafikan tuduhan bahawa kementerian pertahanan terlibat dalam merangka dekri undang-undang darurat tersebut.
Isu tersebut telah mencetuskan krisis politik yang besar di Korea Selatan, dengan Presiden Yoon berdepan tekanan hebat daripada parlimen dan masyarakat umum.
Peletakan jawatan Menteri Pertahanan serta larangan perjalanan ke atasnya menambahkan lagi ketegangan situasi politik negara berkenaan.-AFP