fb fb fb fb fb

China catat peningkatan terpantas kadar inflasi

(Seorang lelaki membayar daging di pasar di Beijing, China 11 Januari 2021/REUTERS)

BEIJING, 11 Mei - China mencatat peningkatan inflasi pada kadar terpantas dalam tempoh hampir setengah tahun, data rasmi menunjukkan pada hari Rabu.

Ia mencerminkan peningkatan kos dan harga komoditi yang tinggi kesan pelaksanaan dasar COVID Sifar.

Kerosakan daripada strategi ketat Beijing memerangi pandemik semakin jelas dalam data ekonomi, apabila sekatan di bandar-bandar utama seperti Shanghai menjejaskan rantaian bekalan dan menaikkan harga pengangkutan.

Indeks harga pengguna (CPI), iaitu pengukur utama inflasi runcit,meningkat lebih daripada jangkaan pada 2.1%  pada April berbanding Mac, kata Biro Perangkaan Kebangsaan (NBS).

(Indeks harga pengguna iaitu pengukur utama inflasi runcit, meningkat lebih daripada jangkaan pada 2.1%  pada April berbanding Mac)

Ini disebabkan "faktor seperti wabak domestik dan kenaikan berterusan harga komoditi antarabangsa," kata perangkawan kanan biro itu, Dong Lijuan dalam satu kenyataan.

Sejak April, bandar terbesar di China, Shanghai telah hampir ditutup sepenuhnya.

Kebanyakan daripada 25 juta penduduknya telah terkurung di rumah mereka, manakala barang-barang bertimbun di pelabuhan ketika pihak berkuasa bergegas untuk menghapuskan penularan COVID-19 yang paling teruk sejak hari-hari awal wabak itu.

Dong berkata bahawa "disebabkan kenaikan kos logistik semasa wabak dan peningkatan permintaan untuk simpanan," harga kentang, telur dan buah-buahan segar meningkat.

Angka terkini menunjukkan bahawa selepas penguncupan empat bulan berturut-turut, harga makanan secara keseluruhan meningkat buat kali pertama tahun ini pada bulan April.

Sementara itu, indeks harga pengeluar (PPI) yang mengukur kos barangan di pintu masuk kilang, meningkat kepada 8.0%, lebih tinggi daripada jangkaan tetapi turun sedikit berbanding Mac.

"Sebab utama ialah harga komoditi seperti minyak mentah dan logam bukan ferus kekal pada paras yang tinggi," kata Dong.-AFP

Media Baharu