fb fb fb fb fb

China akan terus sumbang, suntik elemen positif untuk pertumbuhan ekonomi dunia

(FOTO REUTERS)

BEIJING, 10 Oktober - China akan terus menyumbang bagi menyuntik lebih banyak elemen positif untuk pertumbuhan ekonomi dunia yang mampan, seimbang dan inklusif.

Menurut laporan Biro Statistik Negara baru-baru ini, kadar sumbangan China kepada pertumbuhan ekonomi dunia dalam tempoh sedekad lalu, secara purata menduduki tempat pertama di dunia.

Jurucakap Kementerian Luar China, Mao Ning berkata, meskipun mendepani pelbagai isu yang tidak stabil dan tidak menentu dalam situasi ekonomi sejagat seperti penularan wabak COVID-19, namun pertumbuhan ekonomi China kekal stabil, sekali gus memberi sumbangan positif kepada pemulihan ekonomi dunia.

Dalam tempoh sedekad lalu, kadar pertumbuhan ekonomi China mencatatkan purata 6.6 peratus mendahului kadar pertumbuhan purata dunia iaitu 2.6 peratus dan kadar pertumbuhan purata entiti ekonomi membangun iaitu 3.7 peratus.


(Jurucakap Kementerian Luar China, Mao Ning/ REUTERS)

Kadar sumbangan China kepada pertumbuhan ekonomi dunia merekodkan 38.6 peratus yang melebihi keseluruhan sumbangan negara Kumpulan Tujuh Negara.

Pada tahun 2021, Keluaran Dalam Negara Kasar China mencatatkan sebanyak 18.5 peratus jumlah ekonomi dunia, meningkat 7.2 mata peratusan berbanding sedekad lalu.

Nilai dagangan luar China pada tahun lalu pula mencapai 6.9 trilion dolar atau RM32 trilion menjadikan negara ini entiti ekonomi kedua terbesar dan negara perdagangan terbesar dunia.

Mao berkata, prospek ekonomi China dipercayai kondusif untuk suatu jangka masa yang panjang dan pelaksanaan dasar pintu terbukanya terus konsisten. -REUTERS

Media Baharu