FOTO : AFP
SANTIAGO, 7 Januari - Chile akan menjadi negara Amerika Latin pertama, juga antara negara terawal menawarkan suntikan dos penggalak keempat, mulai minggu depan.
Ia bagi melengkapkan dos vaksin COVID-19, serta mengukuhkan imunisasi dalam kalangan rakyatnya.
Sekali gus menyaksikan ia antara tindakan pantas kerajaan membendung penularan varian Omicron.
Dalam satu sidang media, Presiden Chile, Sebastian Pinera mengesahkan, program vaksinasi dos keempat melibatkan pemberian suntikan dos penggalak kedua itu akan dilancarkan secara besar-besaran pada 10 Januari ini.
Sementara itu, Menteri Kesihatan, Enrique Paris memaklumkan, suntikan dos keempat tersebut akan melibatkan gabungan suntikan yang sama yang telah digunakan setakat ini di Chile.
Antaranya termasuklah Pfizer-BioNTech, Sinovac dan AstraZeneca.
Chile melaporkan kes pertama varian Omicron awal Disember lalu, dan setakat ini telah merekodkan sejumlah 698 kes.
Kebanyakan kes membabitkan rakyatnya yang melancong ke luar negara. - REUTERS