fb fb fb fb fb

Chad diisytihar darurat, akibat banjir

N’DJAMENA, 19 Oktober - Presiden Chad, Mahamat Idriss Deby mengisytiharkan darurat pada Rabu akibat banjir yang memberi kesan kepada lebih sejuta penduduk di negara Afrika tengah itu.

"Mulai sekarang, darurat akan dimulakan bagi membendung dan mengurus bencana alam ini dengan lebih baik," kata Deby dalam ucapan di televisyen kepada negara.

"Kejadian banjir itu menjejaskan 636 kawasan di 18 daripada 23 wilayah di negara ini," katanya.

Yang paling teruk terjejas ialah wilayah selatan Mayo Kebbi Est, Logone Occidental, Tandjile, Moyen Chari dan Mandoul.

(FOTO AFP)

Malah di ibu negara, di sini, ratusan penduduk telah meninggalkan kediaman masing-masing akibat banjir sejak beberapa hari lalu.

Kerajaan telah menyediakan pelan tindak balas untuk menyediakan tempat tinggal, makanan dan sanitasi, kata Deby.

Chad mempunyai dua sungai utama iaitu, Chari dan Logone yang mengalir melalui wilayah selatannya dan mengalir ke Tasik Chad, di kawasan sempadan dengan Niger, Nigeria dan Cameroon.

Tahun ini paras airnya menjadi lebih tinggi daripada kedua-dua sungai, menyebabkan mengalir ke pekan dan kampung sekitar, kata pakar hidrologi di Agensi Meteorologi Kebangsaan Chad, Hamid Abakar Souleymane. - REUTERS

Media Baharu