fb fb fb fb fb

CGT tolak tawaran Total, mogok sektor minyak Perancis diteruskan

(Pekerja mogok berkumpul di hadapan kilang penapisan minyak gergasi
Perancis Total Energies/REUTERS)

PARIS, 15 Oktober- Pekerja loji penapisan minyak di Perancis bertekad meneruskan mogok mereka selepas menolak kadar gaji baharu yang ditawarkan syarikat gergasi TotalEnergies, membayangkan krisis bahan bakar yang semakin teruk menjelang mogok umum sektor awam minggu depan.

Kesatuan General Confederation of Labour (CGT) yang memulakan tindakan perindustrian, telah keluar daripada perbincangan dengan Total, walaupun kesatuan sekerja lain yang mewakili majoriti pekerja menerima perjanjian.

"Kami tidak buta, kami tahu ini memberi kesan kepada kehidupan harian untuk semua orang Perancis," kata Setiausaha Agung CGT, Philippe Martinez kepada radio Franceinfo sambil meminta kerajaan memberi tekanan kepada Total supaya berunding semula.

Kesatuannya menggesa mogok diadakan pada Selasa depan, susulan perarakan antiinflasi yang dirancang pada hari Ahad oleh golongan sayap kiri penentang Presiden Emmanuel Macron.

Kerajaan Macron telah memaksa pekerja yang mogok supaya kembali bekerja untuk membuka depoh minyak selepas tiga minggu ditutup, satu langkah yang menimbulkan kemarahan kesatuan tetapi dibenarkan oleh mahkamah.

Empat daripada tujuh loji penapisan negara masih ditutup, dan kira-kira satu pertiga daripada stesen perkhidmatan negara itu sama ada kekurangan petrol atau kering sepenuhnya, menurut kementerian peralihan tenaga.

Persatuan pembekal borong Perancis memberi amaran bahawa penghantaran bekalan akan "terjejas teruk" mulai Jumaat dan pemandu sekali lagi berdepan barisan panjang untuk mengisi tangki kenderaan sebelum hujung minggu. -AFP

(CGT tolak tawaran Total, mogok sektor minyak Perancis diteruskan/AFP)

Media Baharu