fb fb fb fb fb

Ekonomi Kesatuan Eropah hampiri penguncupan pada 2023

(FOTO REUTERS)

FRANKFURT, 14 Oktober - Ketidakpastian mengenai import tenaga Rusia mendorong zon Euro lebih dekat ke arah penguncupan pada 2023, kata pegawai kanan Bank Pusat Eropah (ECB).

"Apa yang kami anggap sebagai senario kelemahan kami pada bulan September, semakin hampir kepada senario garis dasar," Naib presiden ECB, Luis de Guindos memberitahu mingguan perniagaan Lithuania Verslo zinios.

Senario menurun daripada unjuran ECB pada September akan menyaksikan ekonomi kawasan Euro menyusut hampir satu peratus tahun depan, manakala senario garis dasar meramalkan pertumbuhan 0.9%.

"Perbezaan antara senario garis dasar dengan kelemahan terletak pada evolusi bekalan tenaga dari Rusia," kata De Guindos.

"Andaian bawah senario garis dasar ialah 20% daripada penghantaran tenaga akan terus dibekalkan, manakala senario paling buruk ialah pemotongan penuh bekalan."

Rusia telah mengurangkan secara drastik bekalan gas ke Eropah dalam beberapa bulan kebelakangan ini, dalam langkah yang dilihat sebagai tindakan balas terhadap sekatan Barat.

Tiada gas dihantar melalui saluran paip Nord Stream 1 yang penting antara Rusia dengan ekonomi terbesar EU, Jerman sejak akhir Ogos.

Perang di Ukraine telah menyebabkan harga tenaga melonjak di benua itu, mendorong inflasi yang sudah tinggi kepada rekod baharu.

ECB menyertai bank pusat di seluruh dunia dalam menaikkan kadar faedah untuk meredakan harga dan mengawal permintaan yang berhadapan risiko mencetuskan kemelesetan ekonomi.

Inflasi di zon Euro mencecah paras tertinggi baharu 10% pada bulan September.

De Guindos berkata jika prospek suram ECB berlaku, inflasi tahunan akan meningkat sebanyak 8.4% tahun ini dan 6.9% pada 2023. -AFP

(Naib presiden ECB, Luis de Guindos)

Media Baharu