fb fb fb fb fb

CEO YouTube letak jawatan

(Neal Mohan, CEO baharu Youtube / REUTERS)

SAN FRANCISCO, 17 Februari- Ketua Pegawai Eksekutif YouTube dan salah seorang pekerja Google pertama, Susan Wojcicki, meletak jawatan.

Perkhabaran itu dikongsi Wojciki sendiri melalui kemas kini peribadi pada platform perkongsian video pada hari Khamis.

Wojcicki, 54, akan digantikan oleh timbalannya Neal Mohan, seorang eksekutif kanan pengiklanan dan produk yang menyertai Google pada 2008.

Perubahan kawalan berlaku apabila pendapatan pengiklanan YouTube jatuh untuk suku kedua berturut-turut di tengah-tengah persaingan sengit bagi masa tontonan dengan perkhidmatan video pendek seperti TikTok dan Reels Facebook, dan perkhidmatan penstriman seperti Netflix.

Mohan, graduan Stanford, telah dilantik sebagai ketua pegawai produk di YouTube pada tahun 2015. Beliau memberi tumpuan kepada membina YouTube Shorts, muzik dan tawaran langganan.

Beliau sebelum ini menghabiskan hampir enam tahun di DoubleClick, sebuah syarikat yang diperoleh Google pada tahun 2008, dan kemudian berkhidmat selama kira-kira lapan tahun sebagai naib presiden kanan pengiklanan paparan video di Google.

Salah seorang wanita yang paling menonjol dalam teknologi, Wojcicki berkata dia akan menumpukan pada keluarga, kesihatan dan projek peribadi, dan merancang untuk mengambil peranan sebagai penasihat di Alphabet.

Beliau sebelum ini merupakan naib presiden kanan untuk produk iklan di Google dan menjadi Ketua Pegawai Eksekutif YouTube pada tahun 2014.-REUTERS


(Susan Wojcicki mengumumkan perletakan jawatannya pada Khamis / REUTERS)

Media Baharu