fb fb fb fb fb

Tesla tarik balik 362,000 kereta kerana masalah FSD

(FOTO REUTERS)

WASHINGTON, 17 Februari- Tesla Inc akan memanggil semula lebih 362,000 kenderaannya di Amerika Syarikat untuk mengemas kini perisian Beta Pemanduan Sendiri (FSD) selepas pengawal selia negara itu berkata sistem bantuan pemandu itu tidak mematuhi undang-undang keselamatan lalu lintas dengan secukupnya dan boleh menyebabkan kemalangan.

Pentadbiran Keselamatan Lalu Lintas Lebuhraya Kebangsaan (NHTSA) berkata perisian Tesla membenarkan kenderaan dipandu melebihi had laju atau melalui persimpangan dengan cara yang menyalahi undang-undang atau tidak dapat diramalkan meningkatkan risiko kemalangan.

Tesla berkata ia tidak bersetuju dengan analisis NHTSA tetapi akhirnya akur dengan permintaan agensi keselamatan itu.

Tesla, yang sahamnya ditutup turun 5.7% pada AS$202.04, akan mengeluarkan kemas kini perisian over-the-air (OTA) secara percuma.

Pembuat kenderaan elektrik EV itu berkata ia tidak mengetahui sebarang kecederaan atau kematian yang berkaitan dengan isu penarikan balik kenderaanya sambil mengesahkan ia mempunyai 18 tuntutan jaminan.

Penarikan balik itu meliputi kenderaan Model S dan Model X 2016-2023, Model 3 2017-2023 dan kenderaan Model Y 2020-2023 yang dilengkapi perisian FSD Beta atau pemasangan yang belum selesai.

Penarikan balik itu dilakukan kurang dua minggu sebelum hari pelabur syarikat pada 1 Mac, di mana Musk dijangka mempromosikan keupayaan kecerdasan buatan pembuat EV dan merancang untuk mengembangkan barisan kenderaannya.

Walaupun ciri Autopilot Tesla membantu dengan pengendalian stereng, memecut dan membrek untuk kenderaan dan pejalan kaki lain dalam lorongnya, syarikat itu berkata FSD ialah sistem yang lebih maju direka untuk memberikan pemanduan yang lebih aktif dan 'assisted driving' bawah pengawasan aktif pemandu.-REUTERS


(FOTO REUTERS)

Media Baharu