fb fb fb fb fb

Cemburu atau pertikaian peribadi mungkin motif tembakan malam TBC

(FOTO AFP)

MONTEREY PARK, 24 Januari- Pihak polis sedang menyiasat sama ada cemburu atau pertikaian peribadi menjadi motif dalam insiden tembakan pada malam sambutan Tahun Baru Cina, yang membunuh 11 orang.

Huu Can Tran, 72, menggunakan pistol separa automatik dalam insiden amuk di pinggir bandar Los Angeles dan membunuh lelaki dan wanita berusia antara 50 dan 70-an.

Penembak kemudian memandu ke lokasi berlainan sebelum tindakan pantas seorang pemuda merampas senjata itu daripadanya, menghalang insiden lain daripada berlaku.

Beberapa jam kemudian, Tran membunuh diri selepas polis menemui van putih miliknya.

Penduduk Monterey Park, Chester Hong memberitahu bahawa beliau percaya pertikaian domestik berhubung jemputan ke pesta malam Tahun Baru Cina menjadi punca serangan itu.

"Isteri (dijemput) menyertai parti (tetapi) suami tidak dijemput.

Kemungkinan suami mungkin kecewa dan cemburu," katanya.

Kejadian amuk pada malam Sabtu lalu adalah insiden tembakan terburuk di Amerika Syarikat (AS) sejak tragedi bersenjata di Uvalde, Texas membunuh 21 orang di sebuah sekolah rendah, pada Mei tahun lalu.

Jumlah korban dari Monterey Park, salah satu komuniti Asia terbesar di California, meningkat kepada 11 orang, apabila salah seorang mangsa yang cedera dalam serangan itu, meninggal dunia di hospital.


(FOTO AFP)

Pusat Perubatan Los Angeles dan Universiti Southern California berkata, seramai empat mangsa dirawat di hospital dan seorang masih dalam keadaan kritikal.

Koroner di Los Angeles berkata, kesemua mangsa yang meninggal dunia berusia antara 50 hingga 70-an.

Dua wanita yang terkorban dikenali sebagai My Nhan, 65, dan Lilan Li, 63.

Rakaman keselamatan menunjukkan Brandon Tsay, 26, bergelut dengan Tran di lobi Lai Lai Ballroom & Studio di Alhambra ketika cuba merampas senjata separa automatik 9mm Cobray M11.

"Saya menerpa ke arah penembak dan merebut senjata dan bergelut. Kami kemudian bergelut di dalam lobi, cuba menjauhkan pistol daripada satu sama lain.

"Dia memukul belakang kepala saya, ketika cuba menggunakan siku untuk menjauhkan pistol daripadanya," katanya.

Tsay akhirnya berjaya menjauhkan pistol dan menolaknya ke tepi.

"Saya kemudian mengacukan pistol untuk menakut-nakutkannya dan menjerit, 'Pergi sini. Saya akan tembak. Pergi jauh... Pergi," katanya. -AFP

Media Baharu