ISTANBUL, 24 Januari - Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan semalam memberi amaran bahawa Sweden tidak boleh mengharapkan sokongan negara itu untuk menyertai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) selepas insiden pembakaran al-Quran di luar kedutaannya di Stockholm.
Kenyataan Erdogan itu menjauhkan lagi prospek Sweden dan Finland untuk menyertai pakatan pertahanan itu sebelum pilihan raya presiden dan parlimen Turkiye, Mei ini.
Turkiye dan Hungary adalah satu-satunya anggota NATO yang tidak meratifikasi keputusan bersejarah kedua-dua negara untuk memecahkan tradisi berkecuali ketenteraan sebagai tindak balas terhadap pencerobohan Rusia ke atas Ukraine.
Perdana Menteri Hungary, Viktor Orban berjanji bahawa parlimennya akan meluluskan kedua-dua usul berkenaan bulan depan.
Bagaimanapun, Erdogan memperkukuhkan langkahnya menuju pilihan raya dengan membangkitkan pangkalan pilihan raya nasionalisnya.
"Sweden tidak sepatutnya mengharapkan sokongan Turkiye untuk NATO.
"Adalah jelas bahawa mereka yang menyebabkan aib di hadapan kedutaan kita, tidak boleh mengharapkan sebarang kebajikan berhubung permohonan untuk menjadi ahli NATO," katanya.
Pemimpin Sweden mengecam keras tindakan ahli politik sayap kanan, Rasmus Paludan tetapi mempertahankan definisi kebebasan bersuara negara itu.
Erdogan berkata, pembakaran kitab suci umat Islam adalah jenayah kebencian yang tidak dapat dipertahankan dengan kebebasan bersuara.-AFP