HONG KONG, 3 September - Syarikat penerbangan Hong Kong, Cathay Pacific menggantung sementara operasi pesawat A350 bagi pemeriksaan susulan isu kegagalan enjin pesawat jenis berkenaan yang pertama seumpamanya.
Tindakan itu menyusul selepas insiden satu penerbangan ke Zurich pada Isnin diarah berpatah balik sebelum masalah itu dikenal pasti berpunca daripada kegagalan salah satu komponen enjinnya.
"Kerosakan sedemikian adalah pertama kali dikesan melibatkan komponen enjin pesawat A350 di seluruh dunia.
Pemeriksaan awal mendapati sejumlah komponen enjin yang serupa itu perlu digantikan," kata syarikat berkenaan dalam kenyataannya.
Cathay telah membatalkan sebanyak 24 operasi penerbangan setakat ini.
Pengarah kejuruteraan Cathay Keith Brown berkata, syarikat itu sedang berkerjasama dengan pihak berkuasa penerbangan Hong Kong serta pengeluar pesawat dan enjin.
"Setiap pesawat sedang diperiksa dengan teliti dan akan dibenarkan beroperasi semula setelah pemeriksaan lengkap dijalankan," katanya. - AFP