JAKARTA, 20 Februari- Dua calon yang tidak berjaya dalam pilihan raya presiden Indonesia minggu lalu menggesa Parlimen untuk meneliti aduan mengenai penyelewengan menjelang acara itu.
Gesaan itu dibuat walaupun terdapat komen pemerhati bebas bahawa tiada tanda-tanda penipuan dalam pilihan raya itu, selain daripada beberapa isu seperti daftar pemilih yang dikatakan lapuk serta kelewatan ketika pengundian.
Walaupun keputusan rasmi hanya akan dikeluarkan pada 20 Mac tetapi kiraan tidak rasmi menunjukkan Menteri Pertahanan, Prabowo Subianto memenangi pusingan pertama undian dengan mendapat kira-kira 58 peratus undi.
Saingannya iaitu Anies Baswedan dan Ganjar Pranowo pula masing-masing memperoleh 25 peratus dan 17 peratus undian, dengan kiraan awal oleh pihak berkuasa pilihan raya menunjukkan pecahan yang sama.
Bagaimanapun, tanpa memberikan bukti, kedua-dua kem yang kalah membuat aduan tentang ugutan diterima pengundi, manipulasi institusi negara serta penyalahgunaan sumber negara, seperti dana kebajikan, semasa tempoh berkempen bagi mempengaruhi keputusan pilihan raya.
Semalam, Ganjar menggesa siasatan dibuat apabila Parlimen bersidang semula pada 5 Mac.
"Sesuatu seperti ini mesti disiasat. Sekurang-kurangnya Parlimen harus mengadakan pendengaran," katanya.
Anies, bekas gabenor ibu kota Jakarta berkata, kemnya 'bersedia untuk mengambil bahagian' dalam siasatan Parlimen yang membolehkan penggubal undang-undang menyiasat tindakan kerajaan.
"Kami melihatnya sebagai satu inisiatif yang baik," katanya.
Anies bukan ahli mana-mana parti politik tetapi disokong tiga pihak, manakala Ganjar disokong dua, termasuk parti terbesar di Parlimen, PDI-P.
Presiden Joko Widodo berdepan kritikan berhubung sokongan secara diam-diamnya terhadap Prabowo dan cubaan yang dirasakan menjelang hari pengundian untuk mempengaruhi keputusan itu, tetapi dia dan sekutunya menafikan tuduhan sedemikian.
Siasatan akan sukar untuk dilaksanakan kerana ia memerlukan sokongan daripada penggubal undang-undang, kata Arya Fernandes dari Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa Indonesia.
"Walaupun siasatan itu diluluskan, keputusan itu tidak akan dapat membatalkan keputusan pilihan raya," tambahnya.
Prabowo, yang kalah dalam dua pilihan raya presiden yang lalu pada 2014 dan 2019 menentang keputusan itu dua kali di Mahkamah Perlembagaan Indonesia, kerana mendakwa berlaku penipuan yang berleluasa.
Tindakan itu menyebabkan demonstrasi jalanan yang ganas.
Bagaimanapun kedua-dua tentangan itu ditolak di Mahkamah. - REUTERS