fb fb fb fb fb

Misi kedua pemindahan pesakit dari Hospital Nasser diteruskan ketika pertempuran berlanjutan-WHO

Kanak-kanak dipindahkan dari Hospital Nasser/ REUTERS

GENEVA, 20 Februari- Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata telah menyelesaikan misi pemindahan kedua sejumlah 32 pesakit kritikal termasuk kanak-kanak dari Hospital Nasser di tengah-tengah pertempuran.

Hospital Nasser di Khan Younis, yang merupakan hospital kedua terbesar di Gaza, tidak dapat beroperasi minggu lalu selepas pengepungan selama seminggu diikuti dengan pencerobohan tentera Israel, kata agensi PBB.

Kakitangan WHO berkata kemusnahan di sekitar hospital itu "tidak dapat digambarkan" dan menyuarakan kebimbangan terhadap anggaran 130 pesakit yang cedera serta 15 pegawai perubatan yang kekal di dalam hospital tersebut.

“WHO bimbang akan keselamatan dan kesejahteraan pesakit dan pekerja kesihatan yang tinggal di hospital dan telah memberi amaran bahawa pengepungan akan membawa kepada lebih banyak kematian,” kata WHO dalam laman media sosial X.

Usaha untuk memindahkan saki baki pesakit diteruskan,sementara hospital itu tidak mempunyai bekalan elektrik atau air mengalir dan sisa perubatan dan sampah "mencipta tempat pembiakan penyakit", kata WHO lagi.

Pihak berkuasa kesihatan Palestin berkata keadaan itu telah mencapai "tahap malapetaka", di mana tentera Israel telah menukar hospital itu menjadi "markas tentera".

Nyawa mereka yang tinggal di sana secara langsung terancam, kata mereka.

Israel berkata Hamas, menggunakan hospital untuk perlindungan, bagaimanapun Hamas menafikan perkara itu dan berkata dakwaan Israel sebagai alasan untuk memusnahkan sistem penjagaan kesihatan di Gaza. -REUTERS

ZEHRA BINTI ZAMBRI