fb fb fb fb fb

Buruh paksa Korea Selatan terima pampasan dari firma Jepun

Foto Hiasan/ REUTERS

SEOUL, 20 Februari- Keluarga seorang lelaki Korea Selatan yang dipaksa bekerja di sebuah syarikat Jepun semasa pendudukan Jepun pada tahun 1910-1945 menerima wang daripada syarikat dia bekerja.

Ia sekali gus menjadi kes pertama mangsa buruh paksa mendapat dana dalam kes undang-undang.

Mahkamah Korea Selatan mengekalkan beberapa siri keputusan yang memerintahkan firma Jepun itu membayar pampasan kepada rakyatnya yang terpaksa bekerja untuk mereka serta menarik bantahan daripada Jepun, namun sehingga kini syarikat itu enggan membayar pampasan.

Tokyo berkata, keputusan untuk memberi pampasan adalah melanggar perjanjian diplomatik yang bertujuan untuk menyelesaikan isu itu.

Keluarga warga Korea Selatan itu, yang meninggal dunia pada 2019 dan hanya dikenali dengan nama keluarganya Lee, menerima deposit sebanyak 60 juta won (RM215,421) daripada Hitachi Zosen, kata peguam keluarga itu hari ini.

Peguam Lee Min, yang menyifatkan wang itu sebagai "pampasan", berkata ia adalah kes pertama di mana wang dibayar oleh sebuah syarikat Jepun kepada mangsa buruh paksa.

Hitachi Zosen, sebuah syarikat utama jentera berat dan kejuruteraan, mendepositkan wang itu kepada mahkamah sementara menunggu keputusan kes itu.

Jurucakap Hitachi Zosen berkata, "amat dikesali" mahkamah menyerahkan wang itu kepada keluarga.

Pada Disember, mahkamah memutuskan keputusan memihak kepada keluarga Lee selepas ia meminta 50 juta won ditambah faedah.

Mahkamah turut memutuskan untuk mangsa atau keluarga mereka dalam kes yang dibawa terhadap syarikat seperti Mitsubishi Heavy Industries dan Nippon Steel Corp.

Tiada satu pun daripada firma ini menyatakan mereka menerima keputusan itu atau membayar.

Isu buruh paksa ketika zaman perang dan wanita Korea terpaksa bekerja di rumah pelacuran tentera Jepun sudah lama mengeruhkan hubungan antara kedua-dua negara serta merumitkan usaha untuk memperbaiki hubungan. - REUTERS

ZEHRA BINTI ZAMBRI