fb fb fb fb fb

ByteDance setuju lepaskan aset TikTok AS, elak larangan kerajaan

Foto REUTERS

BEIJING, 21 Disember- Gergasi teknologi China, ByteDance memeterai perjanjian untuk melupuskan sebahagian besar aset TikTok di Amerika Syarikat (AS) serta menubuhkan usaha sama dengan kumpulan pelabur yang majoritinya berpangkalan di negara itu, dalam langkah penting bagi mengelakkan larangan kerajaan AS.

Ketua Pegawai Eksekutif TikTok, Shou Zi Chew memaklumkan ByteDance akan mengekalkan pegangan 19.9 peratus, manakala Oracle, Silver Lake dan firma pelaburan Abu Dhabi, MGX masing-masing memiliki 15 peratus.

Baki 30.1 peratus pula dipegang sekutu pelabur sedia ada ByteDance.

Langkah itu susulan perintah Presiden AS, Donald Trump pada September lalu yang menangguhkan penguatkuasaan undang-undang melarang TikTok kecuali aplikasi itu dijual.

Walaupun urus niaga tersebut hanya dijangka dimuktamadkan pada 22 Januari 2026, perjanjian itu membolehkan TikTok, yang digunakan lebih 170 juta rakyat Amerika, terus beroperasi di AS.

Pada April 2024, Kongres AS meluluskan undang-undang melarang TikTok atas alasan keselamatan negara sekiranya ia tidak dijual, namun pelaksanaannya ditangguhkan beberapa kali oleh pentadbiran Trump bagi memberi ruang rundingan pemindahan pemilikan. -REUTERS

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM