fb fb fb fb fb

Isu buruh paksa Uighur, AS sekat produk lima firma China

Foto REUTERS

WASHINGTON, 9 Ogos-Amerika Syarikat pada Khamis telah menyekat produk import dari lima firma China berhubung penganiayaan hak asasi melibatkan buruh paksa Uighur.

Menurut satu kenyataan oleh kerajaan AS, perkara berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha untuk menghapuskan produk yang dihasilkan menerusi buruh paksa daripada rantaian bekalan AS.

Antara syarikat-syarikat yang disenaraikan termasuklah Rare Earth Magnesium Technology Group Holdings yang berpusat di Hong Kong dan syarikat induknya, Century Sunshine Group Holdings yang mengeluarkan produk baja magnesium dan aloi magnesium.

Turut disenaraikan ialah anak syarikat Zijin Mining Group Co Xinjiang Habahe Ashele Copper Co, yang melombong logam bukan ferus.

Syarikat-syarikat ini telah disenaraikan ke dalam Senarai Entiti Akta Pencegahan Buruh Paksa Uighur, yang menyekat import yang berkaitan dengan apa yang digambarkan oleh kerajaan AS sebagai genosid yang berterusan terhadap minoriti Uighur di wilayah Xinjiang, barat China.

Senarai itu kini merangkumi lebih 70 entiti berkaitan produk seperti pakaian kapas, alat ganti automotif, lantai vinil, dan panel solar.

Senarai berkenaan turut mengenal pasti pihak yang bekerjasama dengan kerajaan Wilayah Autonomi Uighur Xinjiang untuk merekrut dan membawa etnik Uyghur, Kazakh, Kyrgyz keluar dari wilayah tersebut, serta mereka yang mendapatkan bahan dari wilayah itu atau daripada individu yang bekerjasama dengan kerajaan Xinjiang.

Pegawai AS turut mendakwa bahawa pihak berkuasa China telah menubuhkan kem buruh paksa untuk etnik Uyghur dan kumpulan minoriti Muslim lain di Xinjiang.

Namun, Beijing menafikan sebarang dakwaan berkenaan.

"Isu buruh paksa di Xinjiang’ yang tidak lain hanyalah pembohongan yang melampau yang disebarkan oleh kuasa anti-China dan alat bagi ahli politik AS untuk mengganggu kestabilan Xinjiang dan menghalang pembangunan China,” kata seorang jurucakap kedutaan China di Washington pada Khamis dalam satu kenyataan.

"China akan terus mempertahankanhak dan kepentingan yang sah bagi syarikat-syarikat China dengan tegas", tambah kenyataan itu lagi.

Pada Disember 2021, Dewan Kongres Amerika Syarikat (AS) meluluskan undang-undang yang menyekat import produk dihasilkan oleh buruh paksa terutama dari China.

Tindakan itu antara lain menjurus kepada usaha mengakhiri penindasan etnik Uighur di wilayah Xinjiang, China selain layanan buruk kepada minoriti lain di negara itu, sekali gus meningkatkan lagi ketegangan antara Washington dan Beijing.-REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD