LONDON, 8 Ogos - British Airways mengumumkan bahawa ia akan “memberhentikan sementara” penerbangan terus antara London dan ibu negara China, Beijing mulai akhir Oktober.
Tindakan itu dibuat ketika syarikat penerbangan bergelut dengan larangan ruang udara ke atas Rusia, yang diperkenalkan selepas pencerobohan Moscow pada 2022 ke atas Ukraine mendorong Kesatuan Eropah (EU) menutup ruang udaranya kepada penerbangan Rusia.
Larangan itu bermakna penerbangan ke dan dari Eropah ke China mesti mengambil laluan yang lebih lama dan lebih mahal untuk mengelak ruang udara Rusia.
Industri itu juga menunjukkan permintaan yang semakin berkurangan untuk perjalanan ke China, khususnya dalam sektor korporat.
“Kami akan menghentikan laluan kami ke Beijing mulai 26 Oktober 2024, dan kami telah menghubungi pelanggan yang terjejas dengan pilihan tempahan semula atau menawarkan bayaran balik penuh kepada mereka,” kata British Airways dalam satu kenyataan.
“Namun kami terus mengendalikan penerbangan setiap hari ke Shanghai dan Hong Kong,” tambahnya.
Bulan lalu, sebuah lagi syarikat penerbangan UK, Virgin Atlantic, mengumumkan ia akan menggantung baki laluan terakhirnya antara UK dan China,menghubungkan London dan Shanghai, juga mulai 26 Oktober.
Penggantungan British Airways pada mulanya akan berlangsung sehingga November 2025, dengan syarikat penerbangan itu berkata ia kemudiannya akan menyemak semula laluan itu.-AFP