BOGOTA, 18 Jun- Empat lelaki yang mengaku membunuh seorang pendakwa raya warga Paraguay semasa berbulan madu di pantai di Colombia dijatuhkan hukuman penjara 23 tahun.
Marcelo Pecci, 45, ditembak dua das tembakan ketika bersama isterinya di pantai pulau New Caribbean pada 10 Mei lalu.
Pecci merupakan pakar dalam menangani jenayah terancang, pengedaran dadah, pengubahan wang haram dan pembiayaan keganasan.
Isterinya, wartawan Paraguay, Claudia Aguilera, tidak cedera dalam serangan itu.
Menerusi rakaman kamera litar, polis mendapati pembunuhan itu dilakukan oleh dua lelaki yang tiba dari arah depan dengan jet ski.
Seorang daripada empat lelaki yang mengaku terlibat dengan pembunuhan itu adalah warga Venezuela, manakala yang lain warga Colombia.
Pihak berkuasa Colombia berkata mereka tidak mengenal pasti dalang pembunuhan itu, tetapi kumpulan pembunuh upahan itu telah dibayar AS$530,000.
Terdahulu, Pecci menyiasat kumpulan jenayah yang berpangkalan di Brazil dan pengubahan wang haram di kawasan sempadan Paraguay, Brazil dan Argentina.- AFP
(Marcelo Pecci dan isterinya ketika berbulan madu di Colombia sebelum diserang pembunuh upahan)
FOTO INSTAGRAM