fb fb fb fb fb

Vaksin COVID-19, Pfizer dan Moderna diluluskan untuk kanak-kanak di AS

(Foto AFP)

WASHINGTON, 18 Jun- Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan Amerika Syarikat (USFDA) meluluskan penggunaan kecemasan vaksin COVID-19, keluaran Pfizer dan Moderna untuk kanak-kanak.

Agensi itu membenarkan penggunaan dua dos vaksin Moderna untuk kanak-kanak berumur enam bulan hingga lima tahun dan tiga dos suntikan Pfizer untuk kanak-kanak yang berumur antara enam bulan dan empat tahun.

"Hari ini adalah hari yang sangat melegakan bagi ibu bapa dan keluarga di seluruh Amerika," kata Presiden Joe Biden dalam satu kenyataan.

"Pemberian vaksin kepada kanak-kanak akan membantu negara kita terus bergerak ke hadapan dengan selamat", katanya.


(Vaksin Moderna COVID-19 disediakan untuk pentadbiran Union Station di Los Angeles/AFP)

Ketua Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) Rober Califf turut mengalu-alukan keputusan tersebut.

Beliau berkata pemberian vaksin untuk kanak-kanak akan memberikan perlindungan daripada kesan COVID-19 yang lebih teruk seperti kemasukan ke hospital dan kematian.

Pfizer berkata pihaknya merancang mengemukakan permohonan kebenaran kepada pengawal selia lain di seluruh dunia, termasuk Agensi Perubatan Eropah (EMA) pada awal Julai.

"Ibu bapa di AS kini mempunyai pilihan untuk memberi vaksin kepada anak mereka di bawah umur 5 tahun dan kami sedang berusaha untuk memastikan negara lain di seluruh dunia akan mengikutinya," kata Ugur Sahin, Ketua Pegawai Eksekutif dan pengasas bersama BioNTech Jerman yang membangunkan vaksin itu bersama Pfizer.

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) kini perlu mengesyorkan penggunaan vaksin tersebut sebelum ia digunakan di Amerika Syarikat. Kelulusan terakhir akan diberikan selepas mesyuarat jawatankuasa penasihat pakar yang dijangka akan diadakan dalam masa terdekat.

Bagaimanapun, kerajaan mengatakan bahawa sebaik sahaja keputusan FDA dibuat, sebanyak 10 juta dos boleh dihantar segera ke seluruh negara, diikuti oleh berjuta-juta dos lagi pada minggu berikutnya.-AFP.

Media Baharu