(Jacinda Ardern / AFP)
WELLINGTON, 24 Januari- Perdana Menteri New Zealand Jacinda Ardern menafikan punca dia meletak jawatan secara mengejut adalah disebabkan serangan berterusan oleh warganet dalam talian.
Malah, pada Selasa dia berterima kasih kepada semua pihak selama tempohnya memegang jawatan nombor satu itu.
Arden berkata minggu lalu dia tidak lagi terperangkap dalam 'tangki' selepas lima tahun menempuhi situasi bergelora, termasuk mengemudi negara menghadapi bencana alam, serangan pengganas terburuk dan pandemik COVID-19.
Peletakan jawatannya, kurang tiga tahun selepas kemenangan pilihan raya, telah mencetuskan perdebatan nasional mengenai kebencian yang dihadapi oleh pemimpin wanita, terutama di media sosial.
Chris Hipkins, yang akan mengambil alih jawatan perdana menteri, berkata Ardern mengalami penderaan 'sangat menjijikkan' semasa memimpin negara.
Ardern bagaimanapun berkata dia tidak akan menggambarkannya seperti itu.
Semasa penampilan awam terakhirnya sebagai perdana menteri, ketika melawat penempatan Maori Ratana di Pulau Utara, Arden berkata dia tidak suka pengundurannya dilihat sebagai "komen negatif terhadap New Zealand"
"Saya rasa syukur kerana mempunyai peranan yang hebat ini selama bertahun-tahun," katanya kepada pemberita.
Populariti kerajaan Buruh Ardern telah merosot dalam beberapa bulan kebelakangan ini, dihalang oleh kemelesetan yang semakin buruk dan pembangkang konservatif yang bangkit semula.
Hipkins akan mengangkat sumpah sebagai perdana menteri pada Rabu, berkata situasi tersebut ibarat "pahit manis" untuk menggantikan rakannya yang telah dikenalinya selama 20 tahun.
"Saya sangat berbesar hati untuk memegang jawatan itu, tetapi Jacinda juga merupakan kawan baik saya," katanya kepada pemberita Selasa.
Ardern berkata dia kini akan berundur daripada politik, dan menawarkan beberapa nasihat untuk Hipkins.
"Mungkin nasihat paling penting yang saya berikan kepadanya ialah 'awak perlu jadi diri sendiri'," katanya. -AFP
(Jacinda Ardern (KIRI) danĀ Chris Hipkins / AFP)