GENEVA, 24 Januari - Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menggesa 'tindakan segera dan bersepadu' untuk menghapuskan ubat-ubatan yang tidak berkualiti dan dipalsukan di seluruh dunia.
Sekurang-kurangnya tujuh negara telah melaporkan insiden melibatkan sirap ubat batuk yang dijual bebas untuk kanak-kanak sejak empat bulan lalu.
Lebih 300 kanak-kanak berumur bawah lima tahun, meninggal dunia akibat kecederaan buah pinggang yang teruk antaranya di Gambia, Indonesia dan Uzbekistan.
Insiden yang dilaporkan melibatkan pencemaran yang disahkan atau disyaki melibatkan sirap ubat batuk buatan India dengan tahap dietilena glikol dan etilena glikol yang tinggi.
“Bahan cemar ini adalah bahan kimia toksik yang digunakan sebagai pelarut industri dan agen antibeku yang boleh membawa maut walaupun diambil dalam jumlah yang sedikit dan tidak boleh digunakan dalam ubat-ubatan," kata WHO menerusi kenyataan.
Selain negara yang dinyatakan, WHO turut memberitahu bahawa terdapat kemungkinan ubat berkenaan turut dijual di Filipina, Timor Leste, Senegal dan Kemboja.
Sehubungan itu, WHO menggesa tindakan di seluruh 194 negara anggotanya untuk mencegah lebih banyak kematian.
"Memandangkan ini bukan insiden terpencil, WHO menyeru pelbagai pihak berkepentingan yang terbabit dalam rantaian bekalan perubatan untuk mengambil tindakan segera dan diselaraskan," katanya.
Sekitar Oktober lalu dan awal bulan ini, WHO menghantar amaran membabitkan beberapa produk khusus dan meminta ia dikeluarkan dari rak penjualan antaranya, ubat batuk sirap yang dibuat oleh Maiden Pharmaceuticals dan Marion Biotech, yang dikaitkan dengan kematian di Gambia dan Uzbekistan.
Amaran turut dikeluarkan untuk ubat batuk dari empat pengeluar Indonesia, iaitu PT Yarindo Farmatama, PT Universal Pharmaceutical, PT Konimex dan PT AFI Pharma, yang dijual di dalam negara.
WHO mengulangi gesaannya supaya produk yang dinyatakan dikeluarkan daripada pengedaran dan penjualan.
WHO turut menggesa pengilang untuk hanya membeli bahan mentah daripada pembekal yang berkelayakan, menguji produk dengan lebih teliti dan menyimpan rekod pemprosesan.
"Pembekal dan pengedar harus memeriksa tanda pemalsuan dan hanya mengedar atau menjual ubat-ubatan yang dibenarkan," tambah WHO.-AFP