KHAN YUNIS (Gaza), 5 Januari- Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin (PRCS) merayu kepada masyarakat antarabangsa serta Pergerakan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Antarabangsa untuk segera campur tangan bagi melindungi Hospital Al-Amal dan premisnya di Semenanjung Gaza di tengah-tengah serangan udara Israel yang berterusan.
Dalam satu kenyataan PRCS berkata ini termasuk melindungi kakitangan perubatan, pesakit dan kira-kira 14,000 penduduk yang kehilangan tempat tinggal yang mencari perlindungan di hospital itu.
Semua tindakan itu selaras undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan Konvensyen Geneva Keempat, lapor Agensi Berita Palestin (WAFA).
PRCS sangat bimbang terhadap serangan berulang oleh tentera Israel ke atas premisnya dan Hospital Al-Amal - anggota gabungan persatuan itu - di bandar Khan Yunis di Semenanjung Gaza.
Bulan Sabit Merah melaporkan tentera penceroboh Israel telah mengebom beberapa tingkat ibu pejabatnya sejak tiga hari lepas dengan serangan terbaru berlaku pada pagi ini.
Menurut kenyataan itu, serangan secara langsung tentera rejim ke atas bangunan persatuan mengakibatkan kematian tujuh individu yang kehilangan tempat tinggal, termasuk seorang bayi berusia lima hari manakala 11 yang lain cedera.
Selain kematian di premis pertubuhan itu, serangan udara Israel turut mengenai puluhan bangunan kediaman dan perhimpunan orang awam berhampiran atau sekitar hospital, mengakibatkan berpuluh-puluh lagi kematian, termasuk individu yang hilang tempat tinggal yang mencari perlindungan di premis PRCS.
Persatuan itu menegaskan serangan udara Israel juga memusnahkan stesen penghantaran komunikasinya, satu-satunya cara komunikasi yang masih ada di wilayah Khan Yunis.
Menurut PRCS ketiadaan komunikasi menghalang keupayaan kru perubatan untuk bertindak terhadap kes kecemasan dan kes kemanusiaan.
Kawasan sekitar Hospital Al-Amal juga menjadi sasaran serangan Israel selama hampir dua minggu, meletakkan nyawa individu yang kehilangan tempat tinggal dalam bahaya. - BERNAMA-WAFA