fb fb fb fb fb

Bukti Rusia dalang tragedi MH17 diterima - ECHR

FOTO REUTERS

AMSTERDAM, 26 Januari- Hakim Belanda menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup tanpa hadir kepada dua lelaki Rusia dan seorang lelaki Ukraine yang terlibat dalam kes menembak jatuh pesawat MH17.

Ia susulan Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah (ECHR) menerima kes yang dibawa Ukraine dan Belanda berhubung tindakan pencabulan hak asasi manusia Rusia di dua wilayah Luhansk dan Donetsk serta kes menembak jatuh pesawat MH17.

Keputusan itu bagaimanapun tidak menentukan merit kes tetapi Rusia boleh dipertanggungjawabkan atas dakwaan itu.

"Antara lain, mahkamah mendapati bahawa kawasan di timur Ukraine dari 11 Mei 2014 sehingga sekurang-kurangnya 26 Januari 2022, di bawah bidang kuasa Persekutuan Rusia," kata mahkamah dalam keputusan pada hari Rabu (25 Januari).

Kes-kes itu kini akan beralih ke peringkat merit, dijangka mengambil masa satu hingga dua tahun sebelum keputusan muktamad dikeluarkan.

Keputusan ECHR telah membuka ruang kepada sekurang-kurangnya tiga kes lain dari Ukraine serta ribuan permohonan individu yang telah ditangguhkan untuk perbicaraan.

"Ini adalah isyarat jelas kepada Rusia," kata Menteri Luar Belanda, Wopke Hoekstra menerusi satu ciapan di Twitter menyokong keputusan yang dikeluarkan mahkamah, mengisytiharkan kes itu sebagai satu peristiwa penting.

ECHR turut bersetuju dengan keputusan mahkamah Belanda pada November tahun lalu yang menyokong bahawa Rusia berkuasa sepenuhnya terhadap kawalan keseluruhan pasukan Republik Rakyat Donetsk di timur Ukraine mulai pertengahan Mei 2014.

Meski keputusan mahkamah dipengaruhi campur tangan politik, ECHR menegaskan pihaknya masih berkuasa terhadap kes yang telah dimulakan dan kerajaan Rusia boleh diarah untuk membayar ganti rugi.

Pada Jun ini, parlimen Rusia akan mengundi untuk menamatkan bidang kuasa ECHR di negara itu selain telah bertindak mengabaikan keputusan ECHR yang tidak dipersetujuinya sebelum ini.


(Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah (ECHR)/REUTERS)

Terdahulu, penerbangan Malaysia Airlines (MH17) yang berlepas dari Amsterdam menuju ke Kuala Lumpur ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai 2014, ketika krisis tegang antara pemisah pro-Rusia dan tentera Ukraine.

Insiden berkenaan telah mengorbankan 298 penumpang dan anak kapal.

Belanda memfailkan kesnya dengan ECHR pada 2020, mengatakan penembakan jatuh penerbangan MH17 melanggar Konvensyen Eropah mengenai Hak Asasi Manusia.

Bagaimanapun, Moscow telah berulang kali menafikan sebarang penglibatan dalam kemusnahan pesawat itu.-REUTERS

Media Baharu