fb fb fb fb fb

Budi Arie, Menkominfo baharu Indonesia

(Budi Arie Setiadi)

JAKARTA, 17 Julai- Presiden Indonesia Joko Widodo melantik Menteri Komunikasi dan Informatika baharu dalam rombakan kabinet selepas menteri sebelumnya ditahan kerana terbabit siasatan rasuah.

Budi Arie Setiadi menggantikan Johnny G Plate, yang ditahan pada Mei atas tuduhan menuntut sogokan berkaitan projek telekomunikasi kerajaan untuk meluaskan akses internet sekali gus menyebabkan negara itu kerugian setengah bilion dolar.

Plate, yang menafikan dakwaan itu, adalah anggota kelima dalam dua penggal pentadbiran Widodo yang ditahan dalam skandal rasuah sejak 2014.

Penyiasat berkata projek telekomunikasi terbabit menanggung kerugian negara sebanyak lapan trilion rupiah (AS$533 juta).

Plate berdepan hukuman penjara seumur hidup jika didapati bersalah atas pelbagai pertuduhan bawah undang-undang antirasuah Indonesia.

Penyiasat turut menamakan tujuh lagi suspek dalam kes itu, termasuk seorang pekerja anak syarikat gergasi telekomunikasi China, Huawei.

Widodo menggugurkan Plate daripada jawatannya pada Isnin dan mengarahkan Timbalan Menteri Desa, Pembangunan Daerah Tertinggal, dan Transmigrasi, Budi Arie Setiadi untuk memangku tugas menjalankan projek membina stesen pangkalan transceiver (BTS) bagi meningkatkan akses internet di seluruh negara.

"Kami menghormati proses undang-undang, tetapi BTS harus diteruskan kerana ia berkaitan dengan perkhidmatan awam, khususnya untuk penduduk di kawasan terpencil," kata Widodo kepada pemberita.

Budi adalah pengerusi kumpulan sukarelawan yang menyokong kempen presiden Widodo pada 2014.

Sebagai sebahagian daripada rombakan kabinet, Widodo turut melantik lima timbalan menteri lain dan dua ahli lembaga penasihat presidennya.-AFP


(Budi Arie Setiadi)

Media Baharu