fb fb fb fb fb

Buaya baham nenek 85 tahun di Florida

(Buaya yang dipercayai membaham wanita berusia 85 tahun berjaya
ditangkap oleh pihak perlindungan hidupan liar / FOTO TWITTER)

MIAMI, 22 Februari- Seorang wanita warga emas yang sedang berjalan dengan anjingnya dibaham buaya, dalam satu kejadian yang dilaporkan berlaku di Florida.

Menurut saksi, iaitu jiran mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Carol, dia melihat wanita itu diseret ke dalam air oleh reptilia 10 kaki (tiga meter) itu semasa serangan di komuniti Spanish Lakes Fairways di Fort Pierce pada Isnin.

"(Saya) hanya ingat dia seakan bergelut untuk bernafas di dalam air dan saya menjerit kepadanya supaya berenang ke arah bot dayung dan dia berkata ‘Saya tidak boleh melakukannya, buaya ini gigit saya ,'" wanita itu memberitahu stesen TV tempatan WPBF.

Carol, 77, menghubungi perkhidmatan kecemasan sambil berharap dapat membantu rakannya, lapor stesen itu.

Tanpa berdaya, Carol hanya mampu menunggu. "Saya tidak boleh berbuat apa-apa. Saya tidak boleh masuk ke dalam air."

Anjing mangsa bagaimanapun terselamat daripada serangan tersebut, tetapi wanita itu meninggal dunia akibat kecederaannya, kata Suruhanjaya Pemuliharaan Ikan dan Hidupan Liar Florida (FWC) kepada media AS.

Sebuah helikopter dari Pejabat Syerif Daerah St Lucie membantu mengesan buaya di tasik itu, lapor WPBF, dan pegawai perlindungan hidupan liar kemudian menyeretnya keluar.

Buaya itu mempunyai berat antara 600 dan 700 paun (270 hingga 320 kilogram).

Buaya biasanya dilihat di Florida, menyeberang jalan, berjemur di padang golf atau berenang di tasik.

Tetapi kecederaan serius yang disebabkan oleh reptilia itu jarang berlaku.

Laman web FWC mengatakan kemungkinan hanya satu kes dicatatkan dalam nisbah 3.1 juta penduduk Florida. Dari 1948 hingga 2021 hanya 26 kes mengakibatkan kematian manusia.

Mangsa adalah seorang balu, kata Carol, menyifatkan dia sebagai “seorang yang pendiam dan baik."

"Dia mempunyai ramai kawan baik di sini, dan dia menyayangi anjingnya," katanya kepada WPBF.-AFP


(Buaya yang dipercayai membaham wanita berusia 85 tahun berjaya

ditangkap oleh pihak perlindungan hidupan liar / FOTO TWITTER)

Media Baharu