LONDON, 7 Mac- Menteri Luar Britain, David Cameron akan berbincang bersama rakan sejawatnya dari Jerman, Annalena Baerbock di Berlin pada Khamis, dalam usaha meningkatkan sokongan kepada Ukraine selain pemberian bantuan kemanusiaan kepada Gaza yang lebih banyak.
Pertemuan pasangan itu dibuat beberapa hari selepas media Rusia minggu lalu, menyiarkan panggilan dalam talian yang dipintas antara pegawai kanan tentera Jerman mengenai Ukraine termasuk butiran operasi Britain di negara itu.
Kedua-dua menteri luar akan bertemu secara empat mata dalam Dialog Strategik tahunan kedua UK-Jerman pada Khamis, mencari solusi terhadap bantuan ketenteraan yang berterusan kepada Ukraine dan memberi lebih banyak tekanan ke atas Rusia.
Mereka juga akan membincangkan kemajuan ke arah gencatan senjata di Gaza, bantuan untuk kawasan Palestin dan mencegah penghijrahan secara haram.
Cameron turut dijangka akan berkongsi khabar berita 'memalukan' mengenai panggilan yang 'diceroboh' itu.
"Kami perlu membina pertahanan kami, kekal rapat dengan rakan terkuat kami, seperti Jerman dan mendekati sekutu baharu," kata Cameron dalam satu kenyataan.
Jerman mendakwa Rusia telah membocorkan satu panggilan sulit, dalam usaha mewujudkan perpecahan bersama sekutunya.
Kebocoran membabitkan maklumat berhubung penempatan kakitangan British di Ukraine dan bagaimana peluru berpandu Storm Shadow Britain dikerahkan di negara itu.- REUTERS