fb fb fb fb fb

Gustavo dikecam rakyat Colombia, dianggap gagal urus negara

Foto AFP

BOGOTA, 7 Mac- Presiden Gustavo Petro menerima tentangan hebat rakyat Colombia, ketika negara itu berdepan ancaman keganasan daripada kumpulan bersenjata.

Kerajaan Gustavo dilihat gagal untuk mengawal situasi keselamatan negara selain mencapai rundingan perdamaian.

"Keluar, Petro!," tulis sepanduk yang dipegang oleh penunjuk perasaan di Bogota sambil mengibarkan bendera Colombia.

"Ketidakamanan ada di mana-mana, di luar bandar dan di bandar. Rakyat sudah letih," kata penunjuk perasaan, Luis Chaparro yang merupakan seorang pesara tentera, kepada AFP.

"Kami berada di tengah-tengah dua ancaman. Keganasan dan penjenayah di satu pihak dan ketidakupayaan mutlak kerajaan Gustavo Petro di pihak yang lain," tambah Miguel Uribe, seorang senator pembangkang dan penganjur perarakan.

Perarakan tunjuk perasaan turut berlangsung di Cali, Medellin, Barranquilla, Bucaramanga dan bandar-bandar lain.

Petro, presiden berhaluan kiri pertama Colombia, hanya meraih kira-kira 35 peratus sokongan, menurut tinjauan pendapat.

Kerajaannya telah berunding dengan kumpulan bersenjata yang terus berjuang walaupun FARC, sebuah pasukan gerila utama, telah melepaskan senjata mengikut perjanjian damai 2016.

Bagaimanapun, terdapat pelanggaran perjanjian gencatan senjata yang kerap berlaku, dengan orang awam khususnya di kawasan luar bandar terperangkap dalam pertempuran antara gerila kiri, kumpulan separa tentera sayap kanan, kartel dadah dan tentera.

Penunjuk perasaan juga mengkritik cadangan pembaharuan Petro terhadap sistem pencen dan penjagaan kesihatan, di mana beliau mahu mengekang pergantungan kepada dana swasta.

Perkara tersebut telah mencetuskan kebimbangan awam dengan nasib hasil titik peluh rakyat Colombia, berada dalam tangan perkhidmatan awam yang terkenal dengan sejarah rasuah.

Percubaan beliau untuk meluaskan faedah pekerja, juga, ditolak secara meluas sebagai perbelanjaan awam yang membazir di negara yang secara sejarah tidak mempercayai politik kiri dan institusi negara.

Petro telah bergelut untuk mendapatkan pembaharuannya melalui parlimen, di mana dia tidak mempunyai majoriti.

Penentang presiden juga menuduhnya terlalu memberi banyak kelonggaran kepada kumpulan bersenjata, dalam usahanya untuk mencapai "kedamaian menyeluruh" di negara yang dilanda keganasan itu.- AFP

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM