fb fb fb fb fb

Brazil siasat kes kecurian mesingan berat dari pangkalan tentera

(Tentera Brazil berkata kira-kira 160 askar ditahan dalam lokap di pangkalan tentera ketika ia menyiasat kecurian 21 mesingan berat, termasuk beberapa yang mampu menurunkan kapal terbang/  REUTERS)

SAO PAULO, 19 Oktober- Tentera Brazil menahan kira-kira 160 tentera dalam lokap di pangkalan tentera ketika pasukan itu menyiasat kecurian 21 mesingan berat termasuk beberapa unit yang mampu menjatuhkan pesawat.

Tentera giat menyiasat bagaimana mesingan 13 kaliber .50 dan lapan mesingan 7.62 kaliber hilang pada 10 Oktober lalu dari gudang senjatanya di bandar tenggara Barueri iaitu 30 kilometer di luar Sao Paulo.

Pegawai menyuarakan kebimbangan senjata itu boleh berakhir di tangan jenayah terancang, di negara yang mana pertempuran ganas antara pasukan keselamatan dan kumpulan dadah bersenjata berat adalah perkara biasa.

Insiden itu adalah kecurian senjata terbesar daripada tentera Brazil dalam rekod, menurut kumpulan antikeganasan, Instituto Sou da Paz, yang memantau penyelewengan senjata api daripada pasukan keselamatan negara itu.

Undang-undang Brazil mengharamkan kegunaan mesingan berkaliber .50 lebih satu meter panjang, berat sehingga 58 kilogram (kg) dan mampu menjatuhkan menurunkan untuk bukan kegunaan ketenteraan.

Direka bentuk untuk pertempuran, senapang mesin berkaliber 7.62 seberat kira-kira 4.5 kg dan boleh menembak sehingga 700 butir seminit.

(FOTO HIASAN/ AFP)

Pasukan tentera yang telah membuka siasatan dalaman, pada awalnya mengarahkan semua 480 tentera yang bekerja di pangkalan itu kekal di sana untuk disoal siasat serta menahan mereka selama seminggu.

Komando tentera berkata semalam dalam satu kenyataan bahawa ia telah mengurangkan tahap amaran di pangkalan itu, "yang bermaksud pengurangan bilangan tentera yang dikawal."

Bagaimanapun, kira-kira 160 anggota masih diberi arahan untuk tidak meninggalkan pangkalan itu, katanya kepada AFP dalam e-mel.

Tentera berkata mesingan yang dicuri itu "tidak boleh digunakan" dan telah dibawa ke gudang senjata untuk dibaiki atau dilucutkan tauliahnya.

Bagaimanapun, Setiausaha Keselamatan negeri Sao Paulo, Guilherme Derrite, berkata pada Sabtu kecurian itu boleh mendatangkan "akibat malapetaka" jika senjata itu disalurkan kepada kumpulan penjenayah. - AFP

Media Baharu