fb fb fb fb fb

OIC kutuk jenayah perang Israel terhadap Gaza

(Menteri Luar Arab Saudi, Putera Faisal bin Farhan (tengah) mempengerusikan mesyuarat luar biasa jawatankuasa eksekutif OIC berhubung situasi di Semenanjung Gaza yang terkepung di Jeddah, semalam/ AFP)

JEDDAH, 19 Oktober- Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) semalam mengecam penyokong Israel kerana memberikan negara itu “kebebasan daripada hukuman” dalam perangnya di Gaza, ketika Presiden AS, Joe Biden melakukan lawatan solidariti.

Blok 57 negara yang terdiri daripada negara majoriti Islam "kesal dengan kedudukan antarabangsa yang menyokong pencerobohan kejam terhadap rakyat Palestin, dan memberikan Israel sewenang-wenangnya, mengambil kesempatan dan pilih kasih dalam menyediakan perlindungan untuk kuasa penaklukan", kata satu kenyataan OIC yang diterbitkan selepas mesyuarat tergempar menteri luar negeri.

Kenyataan yang sama menyalahkan Israel atas serangan roket ke atas Hospital Ahli Arab Gaza yang dikendalikan oleh Kristian yang mengorbankan 471 orang menurut kementerian kesihatan yang dikawal Hamas di Gaza.

Negara-negara Arab juga secara individu menyalahkan Israel atas insiden yang telah membakar kemarahan di seluruh Timur Tengah.

Namun Biden, bertemu dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, semalam menyuarakan sokongan terhadap pendirian Israel bahawa roket Jihad Islam yang menyebabkan pembunuhan beramai-ramai di hospital,

Serangan itu berlaku ketika Israel terus menghujani Gaza sebagai tindak balas terhadap serangan berdarah 7 Oktober oleh Hamas.

(OIC menyalahkan Israel atas serangan roket terhadap Hospital Ahli Arab Gaza yang dikendalikan oleh Kristian yang mengorbankan 471 orang/ AFP)

OIC yang berpangkalan di bandar pesisir pantai Arab Saudi, Jeddah, menyeru masyarakat antarabangsa "untuk mempertanggungjawabkan pendudukan Israel atas jenayah perang yang kejam ini terhadap rakyat Palestin".

Ia juga mengutuk Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kerana gagal menghentikan keganasan.

“Setiap orang yang memberi sokongan Israel untuk melancarkan perang maut ini, menyediakannya dengan senjata, malah menghantar bala tentera untuk menyokongnya disifatkan melakukan jenayah keji ini dan bersekongkol dengannya” kata Menteri Luar Palestin, Riyad al-Maliki dalam ucapannya.

Menteri Luar Iran, Hossein Amir-Abdollahian berkata Israel bertindak dengan sokongan penuh Amerika Syarikat dan beberapa negara Barat.

Terdahulu, beliau memberitahu pemberita di Jeddah bahawa negara-negara Islam yang mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel harus mengusir dutanya dan "berhenti mengeksport minyak kepada rejim ini"- AFP

Media Baharu