fb fb fb fb fb

Sehari selepas serangan maut di Hospital al-Ahli: 'Kami bagaikan hidup di neraka'

(Ibtihal al-Ra'i melarikan diri daripada serangan Israel pada 17 Okt lalu di Hospital Al-Ahli Arab  bersama anak-anaknya/FOTO REUTERS)

GAZA, 19 Oktober -Suasana di Hospital Al-Ahli Arab kini menjadi pemandangan yang mengerikan selepas insiden pembunuhan beramai-ramai dalam serangan udara tentera rejim Zionis pada Selasa.

Kesan darah turut kelihatan pada simen, rumput dan juga tempat tidur yang berlubang selain serpihan kaca berada di merata-rata tempat; begitu juga puluhan kenderaan kelihatan musnah terbakar.

Memetik laporan Al Jazeera, kira-kira 3,000 penduduk terselamat daripada serangan peluru berpandu di Gaza selepas berlindung di halaman taman dan di tingkat atas bangunan hospital tersebut.

Mangsa yang terselamat kelihatan dalam keadaan keliru, cuba mencari dan mengumpul sisa-sisa barang yang masih boleh digunakan dan membantu mengalihkan mayat yang bergelimpangan.

"Apa yang berlaku adalah perbuatan jenayah terhadap kemanusiaan," kata Pengarah Program dan Penyelarasan Hospital, Mohammed al-Nageh, kepada Al Jazeera.

"Hospital ini telah berfungsi dan memberikan perkhidmatan kesihatan selama lebih 140 tahun, diserang dengan cara yang paling kejam, membunuh lebih daripada 500 jiwa."

Ambulans dan kereta persendirian bergegas membawa beratus-ratus korban ke Hospital al-Shifa, sebuah kompleks perubatan terbesar di Bandar Gaza yang juga terdapat pesakit mengalami kecederaan akibat serangan lain di tengah-tengah pengeboman Israel di Semenanjung Gaza pada 7 Oktober lalu.

(Keadaan di hospital Al-Ahli selepas serangan udara oleh Zionis Israel mengorbankan
beratus-ratus jiwa pada Selasa/FOTO REUTERS)

Jurucakap kementerian kesihatan Gaza, Ashraf al-Qidra berkata ada mangsa yang tiba dengan kecederaan mengerikan, cacat, atau hilang anggota badan.

Pegawai kesihatan berkata kebanyakan mangsa serangan rejim Zionis Israel merupakan wanita dan kanak-kanak .

Jumlah kematian juga dijangka meningkat.

Salah seorang penduduk di Gaza iaitu Ibtihal al-Raii berkata, dia berada di tingkat dua hospital itu bersama keluarga dan kanak-kanak lain.

"Kami melihat cahaya peluru berpandu itu," katanya.

"Kali kedua serangan berlaku, kami bagaikan hidup di neraka. Kaca jatuh berkecai ke atas kami, lalu saya berlari melemparkan badan untuk melindungi anak-anak saya. Kami berlari ke luar dan melihat mayat bergelimpangan. Di mana dunia Arab?" katanya dalam keadaan menangis.

Kementerian kesihatan berkata sekurang-kurangnya 3,300 jiwa terkorban di Gaza dan 11,000 lagi cedera dalam serangan udara Israel tanpa henti sejak 7 Oktober lalu.

Menurut pihak berkuasa kesihatan, seramai 1,200 orang di seluruh Gaza dipercayai tertimbus di bawah runtuhan sama ada hidup atau mati.

Media Baharu