fb fb fb fb fb

Brazil cadang naikkan harga minimum rokok

Foto REUTERS

BRASILLIA, 28 Mei - Kementerian Kewangan Brazil bercadang untuk menaikkan harga minimum rokok bagi mengimbangi kerugian daripada faedah cukai yang diberikan kepada syarikat dalam beberapa sektor dan majlis perbandaran, kata sumber kerajaan kepada Reuters pada Isnin.

Sumber berkenaan turut memaklumkan kenaikan berkenaan dijangka menjadi sebahagian daripada pakej untuk mengimbangi kerugian hampir 26 bilion reais atau (AS$5.03 bilion) hasil daripada pengecualian cukai gaji yang diluluskan oleh Kongres pada Disember tahun lepas.

Rakyat Brazil kini membayar sekurang-kurangnya 5 reais, atau hanya di bawah AS$1, untuk satu pek 20 batang rokok.

Kenaikan berkenaan akan meningkatkan hasil cukai Persekutuan ke atas produk tersebut.

Sementara itu, Setiausaha eksekutif kementerian kewangan, Dario Durigan, memberitahu pemberita bahawa kerajaan tidak menaikkan cukai ke atas rokok. Beliau tidak mengulas mengenai laporan rancangan untuk menaikkan harga minimum penjualan.

Pelan itu dilaporkan lebih awal pada Isnin oleh akhbar tempatan, O Estado de S. Paulo, yang mengatakan cadangan menaikkan harga rokok akan membawa masuk 3 bilion hingga 4 bilion reais. Namun,sumber lain juga diperlukan untuk menebus kehilangan hasil daripada pengecualian cukai gaji.

Menteri Kewangan Fernando Haddad berkata pada Isnin bahawa langkah untuk meningkatkan pendapatan sudah sedia dan kerajaan sedang mempertimbangkan sama ada untuk menghantarnya ke Kongres minggu ini atau melalui perintah eksekutif.-REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD