fb fb fb fb fb

Bot bawa migran terbalik, 43 maut


RABAT, 18 Januari- Seramai 43 migran, termasuk tiga bayi maut apabila bot dinaiki mereka terbalik berhampiran pesisir pantai Tarfaya di selatan Maghribi.

Badan hak asasi bukan kerajaan Sepanyol, Caminando Fronteras, memaklumkan seramai 10 individu berjaya diselamatkan dalam insiden bot karam itu.

Kumpulan yang terselamat itu dilaporkan, membuat panggilan dan merayu supaya diselamatkan awal pagi Ahad lalu dan dapat mengekalkan komunikasi selama dua jam.

"Pihak berkuasa (Maghribi) mengambil tempoh beberapa jam untuk mengesan dan menyelamatkan bot itu," kata Caminando Fronteras.

Setakat ini, hanya dua mayat daripada 43 individu yang maut berjaya ditemui berdasarkan kiraan daripada mereka yang terselamat dan keluarga mangsa.

Ketika kejadian, semua migran itu dalam perjalanan ke Kepulauan Canary di Sepanyol, yang terletak sekitar 100 kilometer dari Tarfaya.

Negara Afrika Utara menjadi lokasi transit utama dalam perjalanan migran yang mahu membina kehidupan baharu di Eropah.

Menurut Caminando Fronteras, lebih 4,000 migran terbunuh atau hilang tahun lalu dalam cubaan menuju ke Sepanyol, iaitu dua kali ganda lebih tinggi berbanding pada 2020. Kebanyakan mayat itu tidak ditemui.

Menurut Kementerian Dalam Negeri Sepanyol, lebih 373,000 migran tiba di negara itu menerusi laluan laut pada tahun lalu. - AFP

Media Baharu