fb fb fb fb fb

Bomba bertungkus lumus padam kebakaran di California tatkala suhu panas landa AS

(FOTO AFP)

MIDPINES, 26 Julai- Anggota bomba terus berusaha memadam kebakaran hutan terbesar di California di lokasi berhampiran Taman Negara Yosemite, memaksa ribuan penduduk berpindah.

Kebakaran yang digelar Api Oak di tengah California berlaku tatkala penduduk Amerika Syarikat masih berdepan gelombang panas melampau.

Menurut jabatan bomba negeri, kebakaran di daerah Mariposa menyebabkan 16,791 ekar kawasan terjejas dan hanya 10% kawasan, api berjaya dikawal.

Menurut Jabatan Perhutanan dan Perlindungan Kebakaran California atau Cal Fire, kebakaran kali ini paling buruk sehingga menjejaskan banyak kawasan berbanding musim kebakaran sebelum ini.

Setakat ini kebakaran telah memusnahkan lebih tiga kali ganda keluasan daripada Api Washburn di lokasi berhampiran, yang telah berjaya dikawal hampir 90%.

Bagaimanapun, kemusnahan itu masih jauh berbanding Api Dixie pada tahun lepas, yang membakar hampir satu juta ekar kawasan.

“Kebakaran Oak yang berlaku ini adalah indikatif kebakaran yang berlaku di seluruh California, di Barat sejak dua tahun lepas," kata Jon Heggie, Ketua Batalion Cal Fire kepada CNN.

"Kebakaran merebak dengan cepat, ia menjadikannya sangat berbahaya kepada orang awam mahupun anggota bomba," kata Heggie.


(Anggota bomba California melakukan pelbagai cara bagi mengawal Kebakaran Oak
di Mariposa, California pada 25 Julai 2022/AFP)

Jurucakap bomba, Jonathan Pierce pula berkata, kelembapan rendah dengan suhu tinggi telah mencetuskan kebakaran.

"Terlalu banyak pokok mati di daerah Mariposa, ditambah keadaan topografi kawasan itu, yang curam di banyak tempat, membawa kepada trend kebakaran yang melampau," tambahnya.

Setakat ini, Kebakaran Oak telah memaksa 3,000 penduduk berpindah, kata pegawai dan keadaan cuaca panas dan kering serta bentuk muka bumi yang curam di kaki bukit Sierra Nevada menyukarkan usaha memadam kebakaran.

Lebih 2,000 anggota bomba disokong 17 helikopter telah dikerahkan memadan kebakaran yang tercetus pada Jumaat di pinggir barat daya Taman Negara Yosemite. -AFP

Media Baharu