(Jururawat berjalan di luar Hospital Negara di Colombo / Foto AFP)
COLOMBO, 26 Julai - Krisis ekonomi yang tidak pernah berlaku sebelum ini telah memberi tamparan hebat kepada sistem perkhidmatan kesihatan Sri Lanka.
Sebelum ini sistem kesihatan negara ini menjadi bualan negara jiran Asia Selatan kerana dapat memberikan rawatan dan perkhidmatan percuma kepada pesakit.
Namun kini di salah sebuah hospital terbesar Sri Lanka, keseluruhan wad gelap dan hampir kosong dan hanya ada beberapa pesakit yang tinggal tanpa diberi rawatan.
(Dr Vasan Ratnasingham, ahli persatuan pegawai perubatan kerajaan / Foto AFP)
Theresa Mary, mengembara ke ibu negara Colombo untuk rawatan di Hospital Nasional Sri Lanka kerana menghidap penyakit kencing manis dan tekanan darah tinggi, dibenarkan pulang empat hari kemudian, masih sukar untuk berdiri sendiri, kerana farmasi di hospital tersebut telah kehabisan ubat tahan sakit bersubsidi.
"Doktor meminta saya membeli ubat dari farmasi swasta, tetapi saya tidak mempunyai wang," kata Mary, 70, kepada AFP.
"Lutut saya masih bengkak. Saya tidak mempunyai rumah di Colombo. Saya tidak tahu berapa lama saya perlu berjalan."
Hospital utama biasanya menyediakan perkhidmatan kepada masyarakat di seluruh negara pulau yang memerlukan rawatan pakar, tetapi ia kini beroperasi dengan kakitangan yang semakin berkurangan dan kebanyakan daripada 3,400 katil tidak digunakan.
Bekalan peralatan pembedahan dan ubat-ubatan kehabisan stok, manakala kekurangan petrol yang kronik menyebabkan pesakit dan doktor tidak dapat hadir ke hospital.
"Pesakit yang dijadualkan menjalani pembedahan tidak melaporkan diri," kata Dr Vasan Ratnasingham, ahli persatuan pegawai perubatan kerajaan, kepada AFP.
"Sesetengah kakitangan perubatan bekerja dua syif kerana yang lain tidak boleh melaporkan diri untuk bertugas. Mereka mempunyai kereta tetapi tiada minyak untuk diisi."
Sri Lanka mengimport 85% ubat-ubatan dan peralatan perubatan, juga bahan mentah untuk keperluan penduduk.
Tetapi negara itu kini muflis dan kekurangan mata wang asing menyebabkan ia tidak dapat memperoleh bekalan petrol mencukupi bagi memastikan ekonomi bergerak dan farmaseutikal yang mencukupi untuk merawat pesakit.
"Ubat penahan sakit biasa, antibiotik dan ubat pediatrik sangat kurang. Ubat lain telah menjadi sehingga empat kali ganda mahal dalam tempoh tiga bulan lalu," kata pemilik farmasi K. Mathiyalagan kepada AFP.
Banyak ubat asas kehabisan stok, pegawai kementerian kesihatan enggan memberikan butiran mengenai keadaan perkhidmatan kesihatan awam Sri Lanka sekarang.
Tetapi doktor yang bekerja di hospital kerajaan berkata mereka terpaksa menyekat pembedahan rutin untuk mengutamakan kecemasan yang mengancam nyawa, dan menggunakan ubat pengganti yang kurang berkesan.
"Sistem penjagaan kesihatan Sri Lanka yang dahulunya kukuh kini dalam keadaan bahaya," kata Penyelaras Residen PBB Hanaa Singer-Hamdy dalam satu kenyataan.
Bank Dunia baru-baru ini mengubah hala dana pembangunan untuk membantu Sri Lanka membayar ubat-ubatan yang diperlukan segera, termasuk vaksin antirabies.
India, Bangladesh, Jepun dan negara-negara lain telah membantu dengan menyalurkan derma untuk sektor penjagaan kesihatan, manakala warga Sri Lanka yang tinggal di luar negara telah membantu dengan menghantar farmaseutikal dan peralatan perubatan ke rumah.
Presiden baharu Ranil Wickremesinghe telah memberi amaran bahawa krisis ekonomi negara itu berkemungkinan berterusan hingga akhir tahun depan, dan krisis kesihatan awam yang lebih teruk akan berlaku.
Jika krisis berlarutan, "lebih ramai bayi akan mati, dan kekurangan zat makanan akan berleluasa di Sri Lanka," kata Dr Vasan dari persatuan pegawai perubatan kepada AFP. - AFP