fb fb fb fb fb

Jepun laksanan hukuman mati, lelaki bunuh 7 orang dalam tragedi amuk 2008

(Tomohiro Kato/Fail AFP)

TOKYO, 26 Julai- Pihak berkuasa Jepun mengenakan hukuman mati ke atas seorang lelaki yang didapati bersalah membunuh tujuh orang dalam satu kejadian amuk pada 2008 di daerah Akihabara di Tokyo yang terkenal dengan industri elektronik.

Bagaimanapun menurut laporan media tempatan Kementerian Kehakiman enggan mengesahkan laporan  penyiar nasional NHK dan beberapa media lain bahawa Tomohiro Kato telah dihukum bunuh atas serangan itu yang menyebut pelaku memandu trak ke arah orang ramai.

Tindakan Kato (menikam) dilakukan pada 8 Jun 2008. Dia memberitahu polis, “saya datang ke Akihabara untuk membunuh orang. Tidak kira siapa yang akan saya bunuh.”

Dia ditahan ditempat kejadian sejurus selepas serangan. Kato bertindak merempuh sekumpulan orang ramai di kawasan pejalan kaki menggunakan lori dua tan yang disewanya. Dia kemudian keluar dan bertindak menikam orang ramai.

Menurut polis, pelaku ada menyiarkan perjalanan misi membunuh ke Akihabara di papan buletin internet dan mengadu tentang pekerjaannya yang tidak stabil serta berdepan kesepian hidup.

Kato merupakan anak kepada seorang jurubank, dibesarkan di wilayah Aomori utara Jepun. Dia bersekolah di sebuah sekolah terkemuka, namun gagal dalam peperiksaan kemasukan ke universiti dan akhirnya dilatih sebagai mekanik kenderaan, menurut laporan media tempatan.

Menurut pendakwa raya, Kato hilang keyakinan selepas seorang kenalan wanita yang dikenalinya melalui internet secara tiba-tiba berhenti menghantar e-mel kepadanya selepas Kato menghantar gambarnya.

Kemarahan Kato kepada orang awam meningkat apabila mesejnya di papan buletin internet, termasuk rancangannya untuk melakukan pembunuhan beramai-ramai, tidak mendapat sebarang reaksi, kata pendakwa raya.

Ketika menunggu tarikh perbicaraan, Kato menulis surat kepada pemandu teksi berusia 56 tahun yang cedera ditikam Kato, bagi menyatakan kekesalannya.

Mangsa "sedang menikmati kehidupan mereka, dan mereka mempunyai impian, masa depan yang cerah, keluarga yang mesra, kekasih, rakan dan rakan sekerja," tulis Kato mengikut laporan yang diterbitkan akhbar mingguan Shukan Asahi.

Tragedi pembunuhan beramai-ramai itu antara yang terburuk dalam tempoh tujuh tahun dan Kato dijatuhkan hukuman mati pada 2011, kemudian mahkamah tinggi Jepun mengekalkan hukuman itu pada 2015. -AFP


(Trak digunakan Kato untuk merempuh orang awam/Foto Wikipedia) 

Media Baharu