QUITO, 26 Julai- Pejabat pendakwa raya Ecuador berkata mereka sedang menyiasat bekas presiden Lenin Moreno berhubung kehilangan artifak bernilai tinggi dari istana presiden.
Pejabat pendakwa raya berkata di Twitter ia sedang menggeledah rumah Moreno "dalam konteks penyiasatan ke atas dakwaan jenayah penyelewengan berkaitan dakwaan kehilangan artifak warisan" dari bangunan kerajaan.
Salah laku penyelewengan boleh dihukum sehingga 13 tahun penjara di Ecuador.
Moreno, yang menjadi presiden dari 2017-2021, dituduh mengambil artifak itu oleh bekas sekutunya Rafael Correa.
Moreno adalah naib presiden Correa dari 2007-2013, tetapi duo itu kemudinnya bertelagah dan menjadi musuh.
Correa kini tinggal dalam buangan di Belgium, yang memberinya suaka selepas dia disabitkan kesalahan rasuah secara in absentia dan dijatuhi hukuman penjara lapan tahun.
Sementara itu, Moreno menafikan tuduhan tersebut dalam catatan Twitter mengatakan ia adalah satu cerita yang sengaja 'diada-adakan'.
Dia turut memaklumkan telah memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk melakukan pencarian di rumahnya.
Moreno mendakwa artifak arkeologi yang didakwa hilang dari rumah kerajaan semasa pentadbirannya "diserahkan mengikut kesesuaian kepada institusi yang kompeten untuk disimpan dalam jagaan mereka."
Semasa menjadi presiden, Correa membuka sebuah muzium di istana presiden untuk mempamerkan permata dan hadiah lain yang diterimanya sepanjang memegang jawatan, tetapi Moreno kemudiannya menutupnya.-AFP
(Bekas Presiden Ecuador Lenin Moreno)