fb fb fb fb fb

Tiga terbunuh dalam siri tembakan di lima lokasi di Kanada

(Suasana tempat kejadian selepas pihak berkuasa memaklumkan penduduk tentang
beberapa tembakan yang menyasarkan mangsa sementara di pinggir bandar Vancouver Langley,
British Columbia/REUTERS)


LANGLEY, 26 Julai- Tiga orang termasuk lelaki yang disyaki penembak terbunuh dalam siri tembakan di 5 lokasi berbeza, sepanjang tengah malam sehingga awal pagi Isnin, menurut polis.

Ketua Penguasa Polis Bandar Langley, Ghalib Bhayani berkata, tembakan yang berlaku di pinggir bandar Vancouver, bermula sekitar tengah malam itu melibatkan empat mangsa tembakan.

Tiga lelaki termasuk penembak maut di tempat kejadian, manakala seorang mangsa wanita cedera.

Wanita berkenaan kini berada dalam keadaan kritikal di hospital.

"Penembak itu didapati cedera ketika polis mengesannya, dan anggota berjaya menembak mati lelaki itu di tempat kejadian.

(Kenderaan dengan kesan peluru yang kelihatan pada cermin depan selepas siri tembakan di pinggir bandar
Vancouver Langley, British Columbia, pada awal pagi Isnin/REUTERS)


"Kami masih menyiasat untuk menentukan sama ada lelaki bersenjata itu bertindak bersendirian, atau bersama suspek lain atau kumpulan tertentu.

"Bagaimanapun, siasatan awal mendapati, tiada orang lain yang terlibat dan tiada lagi ancaman berterusan terhadap keselamatan awam," kata penguasa polis itu pada satu sidang media.

Polis turut mengeluarkan amaran kecemasan dan meminta orang ramai supaya tidak berada di beberapa tempat awam, termasuk tempat letak kereta, kasino dan perhentian bas

Siri tembakan membabitkan beberapa lokasi pada satu malam bukan perkara biasa di Kanada, jika dibandingkan dengan Amerika Syarikat.

Kanada mempunyai undang-undang senjata api yang lebih ketat walaupun Rakyatnya dibenarkan memiliki senjata api berlesen. -REUTERS

Media Baharu