BRUSSELS, 16 Julai - Ketua perunding perdagangan Kesatuan Eropah (EU), Maros Sefcovic, dijadual berlepas ke Washington pada Rabu bagi mengadakan rundingan dengan rakan sejawatannya, dalam usaha terbaharu blok itu menyelesaikan pertikaian tarif perdagangan.
"Sefcovic akan berlepas ke Washington untuk mengadakan pertemuan bersemuka secara berasingan dengan Setiausaha Perdagangan Amerika Syarikat, Howard Lutnick, dan Wakil Perdagangan Amerika Syarikat, Jamieson Greer," kata jurucakap perdagangan Suruhanjaya Eropah, Olof Gill.
Hubungan perdagangan antara EU dan Amerika Syarikat kembali tegang selepas Presiden Donald Trump mengancam untuk mengenakan tarif sebanyak 30 peratus ke atas barangan Eropah bermula 1 Ogos, sekiranya tiada perjanjian dicapai antara kedua-dua pihak.
Sebelum kenyataan itu dikeluarkan hujung minggu lalu, Brussels percaya rundingan dengan Washington hampir mencapai kesepakatan.
EU optimis bahawa perjanjian itu dapat dimeterai menjelang akhir bulan ini.-AFP