WASHINGTON, 16 Julai - Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump hari ini mengumumkan beliau telah memuktamadkan satu perjanjian perdagangan penting dengan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto.
Menurut Trump dalam satu kenyataan di platform Truth Social, perjanjian tersebut akan membuka seluruh pasaran Indonesia kepada AS buat kali pertama dalam sejarah antara kedua-dua negara.
Di bawah perjanjian itu, AS akan mengenakan tarif sebanyak 19 peratus ke atas barangan dari Indonesia.
Manakala, produk dari AS yang dieksport ke Indonesia akan bebas daripada tarif dan halangan bukan tarif.
Indonesia bersetuju untuk membeli tenaga dari AS bernilai AS$15 bilion, mengimport produk pertanian AS bernilai AS$4.5 bilion, dan membeli 50 pesawat Boeing, termasuk beberapa model Boeing 777.
Trump menegaskan, petani, penternak dan nelayan AS akan mempunyai akses penuh dan menyeluruh ke pasaran Indonesia yang berpopulasi lebih 280 juta orang.
Trump turut menambah, jika ada barangan dihantar ke Indonesia melalui negara yang mempunyai tarif lebih tinggi, tarif tambahan akan dikenakan.