TIANJIN, 16 Julai - China terus komited menyokong Iran dalam menjaga kedaulatan dan maruah negaranya, menentang politik kuasa dan buli, mempertahankan hak dan kepentingannya yang sah melalui rundingan politik, dan berpegang kepada prinsip kejiranan dan persahabatan untuk terus memperbaiki dan membangunkan hubungan dengan negara jirannya.
Kenyataan itu disuarakan Menteri Luarnya, Wang Yi, semasa pertemuan dengan rakan sejawatanya dari Iran, Seyed Abbas Araghchi, yang berada di China bersempena Mesyuarat Majlis Menteri-Menteri Luar Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO).
"Sebagai rakan strategik yang komprehensif, China bersedia bekerjasama dengan Iran untuk memperdalam kepercayaan bersama, mengukuhkan kerjasama, mengembangkan pertukaran, dan mempromosikan pembangunan hubungan China-Iran yang stabil dan jangka panjang," kata Wang.
Sementara itu, Araghchi berterima kasih kepada Beijing atas sokongan teguh kepada Iran dan turut menyatakan sokongan terhadap peranan China sebagai presiden penggiliran SCO dan persiapannya untuk Sidang Kemuncak Tianjin.
"Iran bersedia untuk meningkatkan pertukaran peringkat tinggi antara kedua-dua negara, memperdalam kerjasama yang saling menguntungkan, dan terus teguh menyokong satu sama lain," katanya.
Kedua-dua pihak juga bertukar pandangan mengenai isu nuklear Iran.
Araghchi menegaskan bahawa Iran sama sekali tidak berhasrat untuk membangunkan senjata nuklear tetapi tidak akan melepaskan haknya yang sah untuk menggunakan tenaga nuklear secara aman.
Negara itu juga bersedia untuk menyambung semula rundingan dan perundingan dengan semua pihak secepat mungkin atas premis kesaksamaan dan rasa hormat, untuk mencari penyelesaian politik kepada isu nuklear Iran.
Dalam pada itu, Wang berkata bahawa China sentiasa menentang penggunaan kekerasan atau ancaman kekerasan dan menyokong menyelesaikan perbezaan melalui dialog dan perundingan.
"China sangat menghargai komitmen Iran untuk tidak membangunkan senjata nuklear, menghormati hak Iran untuk menggunakan tenaga nuklear secara aman, dan menghargai usaha Iran untuk mencapai keamanan melalui cara diplomatik.
"China juga menyokong Iran dalam mengekalkan momentum dialog dengan semua pihak, dan bersedia untuk terus memainkan peranan yang membina dalam mempromosikan penyelesaian isu nuklear Iran dan kestabilan di rantau Asia Barat, katanya. - REUTERS