ERBIL, 16 Julai - Tiga tapak pengeluaran minyak di utara Iraq diserang oleh dron sarat bahan letupan awal pagi Rabu, menyebabkan kerosakan serius pada infrastruktur.
Setakat ini tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Kementerian Sumber Asli Wilayah Kurdistan dalam satu kenyataan mengecam serangan yang menyasarkan tapak minyak Tawke, Peshkhabur dan Ain Sifni yang terletak di kawasan Zakho dan Duhok.
“Walaupun serangan ini tidak menyebabkan sebarang kehilangan nyawa, ia telah mengakibatkan kerosakan besar terhadap infrastruktur tapak pengeluaran minyak terbabit," menurut kenyataan itu.
Berdasarkan maklumat awal, dua dron meletup mengenai tapak Peshkhabur antara pukul 6.00 hingga 6.15 pagi waktu tempatan, diikuti satu lagi serangan dron di lokasi Tawke sekitar pukul 7.00 pagi.
Setakat ini, tiada kumpulan mengaku bertanggungjawab atas serangan tersebut.-REUTERS