fb fb fb fb fb

Didakwa terima rasuah, polis serbu kediaman eksekutif Sukan Olimpik Tokyo 2020

(FOTO OLYMPIC)

TOKYO, 26 Julai- Polis Jepun hari ini menyerbu kediaman salah seorang ahli lembaga pengarah jawatankuasa penganjur Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang didakwa menerima suapan daripada penaja yang menandatangani kontrak sukan berprestij itu.

Menurut laporan media tempatan, Haruyuki Takahashi, 78, didakwa menerima ratusan ribu dollar daripada sebuah syarikat berkaitan pakaian, Aoki Holdings Inc., "rakan penganjur rasmi" acara sukan mega yang penganjurannya ditunda akibat pandemik COVID-19, tahun lalu.

Agensi berita Kyodo melaporkan, tindakan itu boleh dikategorikan sebagai rasuah, kerana Takahashi boleh dianggap sebagai penjawat awam (separa) dan tidak boleh menerima wang atau hadiah atas sebab sebarang urusan berkaitan jawatannya.

Wakil pejabat pendakwa raya Tokyo memberitahu AFP, mereka tidak dapat memberi ulasan untuk kes berkaitan individu.

“Sebuah syarikat berkaitan perunding sukan yang dikendalikan Takahashi disyaki menerima wang daripada Aoki untuk kontrak yang ditandatangani pada 2017,” menurut media tempatan.

Pada Oktober 2018 Aoki menjadi penaja rasmi Sukan Olimpik Tokyo dan dibenar menggunakan logo acara sukan itu.

Minggu lalu, Takahashi memberitahu kepada akhbar Yomiuri Shimbun bahawa bayaran yang diterima syarikat adalah untuk kerja-kerja berkaitan rundingan.

“Tidak ada sebarang konflik kepentingan dengan kedudukan saya sebagai ahli lembaga jawatankuasa penganjur,” kata Takahashi memetik laporan akhbar berkenaan.

Minggu lalu Aoki mengeluarkan satu kenyataan, menyatakan syarikat tidak mempunyai ulasan atau komen berhubung pembayaran tersebut.  

Takahashi, ialah bekas eksekutif agensi pengiklanan terbesar di Jepun, Dentsu dan telah berkhidmat dalam Lembaga Pengarah Olimpik Tokyo 2020 sejak Jun 2014.

Jawatankuasa penganjur Olimpik Tokyo sudah dibubarkan bulan lalu. -AFP


(Haruyuki Takahashi Ahli lembaga eksekutif Jawatankuasa Penganjur Olimpik Tokyo 2020/AFP)

Media Baharu