MADRID, 16 Julai – Puluhan penduduk berhimpun di bandar Torre Pacheco, Sepanyol, pada Selasa bagi membantah kemasukan pendatang tanpa izin.
Ia selepas empat malam berturut-turut berlaku pertembungan antara pendatang Afrika Utara dan kumpulan pelampau kanan, dalam insiden yang disifatkan antara yang paling serius dalam tempoh kebelakangan ini.
Jurucakap kerajaan wilayah memaklumkan lebih 120 anggota Guardia Civil dikerahkan untuk mengawal keadaan susulan seruan kumpulan pelampau kanan untuk mengadakan protes anti-pendatang pada hari tersebut.
Sekurang-kurangnya 14 individu telah ditahan oleh pihak berkuasa berkaitan rusuhan yang tercetus sejak Jumaat lalu, berpunca daripada insiden serangan ke atas seorang lelaki tempatan berusia 60-an minggu sebelumnya.
Menurut pihak berkuasa, tiga warga Maghribi disyaki terlibat dalam serangan tersebut diberkas, termasuk seorang remaja lelaki berusia 19 tahun yang dipercayai menjadi pelaku utama.
Ketegangan semakin memuncak selepas beberapa mesej berunsur xenofobia tersebar di media sosial, menyeru penduduk tempatan agar memburu warga berketurunan Afrika Utara.
Pemimpin komuniti Maghribi tempatan menggesa warganya agar bertenang, selain menasihatkan golongan belia untuk kekal berada di rumah bagi mengelakkan ketegangan terus meningkat. -REUTERS