fb fb fb fb fb

Hujan lebat landa New Jersey, dua maut di Plainfield

Foto Reuters

NEW JERSEY, 16 Julai – Dua individu dilaporkan maut apabila kenderaan yang dinaiki mereka dihanyutkan arus deras selepas hujan lebat menyebabkan banjir kilat melanda kawasan Plainfield, New Jersey, pada malam Isnin hingga awal pagi Selasa.

Kejadian berlaku susulan ribut yang membadai kawasan sekitar New York City, sekali gus menyebabkan kerosakan meluas serta gangguan besar terhadap sistem pengangkutan di rantau itu, termasuk di lapangan terbang, lebuh raya dan laluan kereta api.

Rakaman video yang tular menunjukkan air banjir mengalir deras di jalan-jalan Plainfield, dengan beberapa buah kenderaan kelihatan hampir tenggelam sepenuhnya.

Lokasi dan tarikh kejadian disahkan secara bebas oleh agensi Reuters melalui metadata pada fail video asal.

Gabenor New Jersey, Phil Murphy, dalam satu kenyataan telah mengisytiharkan darurat berikutan bencana itu, dan mengesahkan dua kematian yang berlaku apabila sebuah kenderaan dihanyutkan air deras di Plainfield.

Hujan luar biasa yang melanda kawasan berkenaan turut mengakibatkan beberapa stesen kereta api bawah tanah dinaiki air, menambahkan lagi cabaran kepada usaha pemulihan dan keselamatan awam. -REUTERS

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN