Protes bantah sistem pengambilan kakitangan kerajaan merebak ke Jharkhand

Protes yang bermula di Ranchi, ibu negeri di timur India pada 29 Julai lepas menyaksikan beberapa pelajar turut melancarkan mogok lapar – Foto AFP

NEW DELHI, 10 OgosPelajar India berarak menuju ke Dewan Undangan Negeri Jharkhand pada Isnin, sekali gus meningkatkan tekanan menerusi protes berhubung dakwaan ketidakaturan dalam peperiksaan pengambilan kakitangan kerajaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Beberapa penunjuk perasaan, termasuk pemimpin Devendra Nath Mahto, sedang melakukan mogok lapar; Mahto telah berpuasa lebih seminggu.
  • Penunjuk perasaan menuntut pembatalan peperiksaan yang dikendalikan syarikat swasta dan siasatan polis persekutuan terhadap pengendalian.
  • Ketua Menteri Hemant Soren menerima beberapa tuntutan; beberapa pegawai pengawas peperiksaan meletak jawatan, sementara kawalan polis diperketat.

Beberapa pelajar turut melancarkan mogok lapar.

Protes di Ranchi, ibu negeri di timur India yang dihuni lebih 33 juta penduduk bermula pada 29 Julai, beberapa hari selepas gerakan diketuai golongan muda yang dikenali sebagai gerakan “lipas” di New Delhi memaksa menteri pendidikan meletakkan jawatan.

Sekurang-kurangnya enam penunjuk perasaan sedang melakukan mogok lapar, termasuk pemimpin pelajar, Devendra Nath Mahto, 33, yang sudah berpuasa lebih seminggu.

“Kami mahu seluruh sistem ini berubah,” tegas Mahto seperti dipetik media India, sambil menuntut kerajaan menghentikan penggunaan khidmat sebuah syarikat swasta yang mengendalikan peperiksaan bagi perkhidmatan awam negeri.

Pada Isnin, beratus-ratus anggota polis berkawal di bangunan Dewan Undangan Negeri yang turut dipasang dengan penghadang kawat berduri selepas rundingan berulang kali antara penunjuk perasaan dengan kerajaan negeri gagal mencapai kata sepakat.

Penunjuk perasaan menuntut pembatalan beberapa peperiksaan yang dikendalikan sebuah syarikat swasta bagi pihak kerajaan negeri, selain meminta siasatan oleh polis persekutuan terhadap pengendalian peperiksaan berkenaan.

Ketua Menteri Jharkhand,Hemant Soren telah cuba untuk meleraikan protes itu dengan menerima beberapa tuntutan, manakala beberapa pegawai kerajaan yang bertanggungjawab menngawasi peperiksaan tersebut telah berundur dari jawatan masing-masing.

“Setiap masalah boleh diselesaikan menerusi dialog,” kata Soren dalam ucapan pada Ahad.

Tunjuk perasaan di New Delhi yang dianjurkan oleh kumpulan dalam talian ‘Cockroach Janta Party’ berlarutan selama 36 hari bagi membantah kegagalan dalam sistem peperiksaan India sehingga memaksa Menteri Pendidikan ketika itu, Dharmendra Pradhan, melepaskan jawatan.

Perkembangan itu memberikan kemenangan luar biasa kepada gerakan berkenaan, selain menjadikan isu integriti peperiksaan sebagai antara agenda politik utama.

Protes di Jharkhand yang mengulangi tuntutan tersebut, mencerminkan kekecewaan lebih meluas dalam kalangan golongan muda India yang melihat peperiksaan kerajaan sebagai laluan utama mendapatkan pekerjaan di negara yang menyaksikan jutaan orang bersaing bagi mendapatkan peluang pekerjaan sektor awam yang terhad.

Protes di New Delhi sebelum ini mencabar Parti Bharatiya Janata (BJP) pimpinan Perdana Menteri Narendra Modi. Namun, demonstrasi di Jharkhand menuntut perubahan daripada kerajaan negeri yang dipimpin parti pembangkang. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.