BRASÍLIA, 25 April- Bekas Presiden Brazil Jair Bolsonaro mengalami kemerosotan kesihatan selepas menerima notis mahkamah di katil hospitalnya ketika sedang pulih daripada pembedahan usus, menurut kenyataan pasukan perubatan pada Khamis.
Hospital DF Star di Brasília memaklumkan Bolsonaro, 70, menunjukkan "kemerosotan klinikal dengan peningkatan tekanan darah dan kemerosotan keputusan ujian fungsi hati."
Beliau telah dirawat di hospital berkenaan sejak pertengahan April.
Pada Rabu, seorang pegawai mahkamah menyerahkan notis kepada Bolsonaro memaklumkan beliau mempunyai lima hari untuk mengemukakan pembelaan awal terhadap pertuduhan cubaan rampasan kuasa sebagai persediaan untuk perbicaraan.
Rakaman video menunjukkan Bolsonaro jelas marah ketika menerima dokumen itu sambil berkata: "Saya ada lima hari untuk bentangkan pembelaan? Lima hari?" sambil menunjuk ke arah dirinya yang masih berada di unit rawatan rapi. Jururawat dilihat cuba menenangkannya ketika tekanan darahnya meningkat.
Bolsonaro yang tewas dalam pilihan raya 2022 kini diarahkan untuk dibicarakan atas dakwaan mengetuai plot rampasan kuasa bagi mengekalkan kuasa.
Pembedahan usus yang dijalaninya awal bulan ini adalah susulan komplikasi berpanjangan akibat ditikam pada 2018 ketika berkempen sebagai calon presiden.
Hospital memaklumkan beliau akan menjalani beberapa ujian kesihatan tambahan pada Khamis.
Sehari sebelum menerima notis mahkamah, Bolsonaro sempat muncul dalam siaran langsung YouTube selama hampir satu jam bersama tiga orang anak lelakinya serta juara Formula 1 Brazil, Nelson Piquet.
Ketika itu, beliau kelihatan duduk tegak dengan tiub bantuan pernafasan di hidung walaupun doktor tidak membenarkan sebarang lawatan.
Mahkamah Agung Brazil memaklumkan bahawa siaran langsung itu membuktikan Bolsonaro berada dalam keadaan yang membolehkan beliau diberi notis rasmi.
Waran tersebut menetapkan lima hari untuk Bolsonaro mengemukakan pembelaan bertulis termasuk senarai bukti dan saksi yang akan dikemukakan di mahkamah.
Perbicaraan Bolsonaro akan menjadi yang pertama melibatkan bekas ketua negara yang dituduh cuba mengambil alih kuasa secara paksa sejak Brazil kembali ke sistem demokrasi pada 1985 selepas dua dekad di bawah pemerintahan tentera.
Jika disabitkan bersalah, beliau berisiko dihukum penjara sehingga 40 tahun dan digantung daripada menyertai politik menjelang pilihan raya presiden akan datang yang sebelum ini menjadi sasaran beliau untuk bertanding semula. -AFP